- Iklan -
Berita

Starbucks berang, saman kesatuan pekerja nyatakan sokongan untuk Palestin

Rangkaian kopi antarabangsa itu memfailkan saman terhadap kesatuan pekerja Starbucks Workers United sambil berkata ia mengutuk 'keganasan Hamas'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kenyataan simpati Starbucks Workers United kepada rakyat Palestin mengundang kemarahan pengurusan syarikat yang bertindak menyaman kesatuan itu.
Kenyataan simpati Starbucks Workers United kepada rakyat Palestin mengundang kemarahan pengurusan syarikat yang bertindak menyaman kesatuan itu.

Rangkaian kopi antarabangsa Starbucks bertindak mengheret sebuah kesatuan pekerja ke mahkamah selepas sebuah kiriman di X yang menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.

Starbucks yang beribu pejabat di Seattle itu memfailkan saman itu terhadap Starbucks Workers United di Iowa semalam, berhubung kiriman pro-Palestin yang dikongsi oleh akaun kesatuan itu pada 9 Oktober, dua hari selepas pejuang Hamas melancarkan serangan hendap ke atas beberapa penempatan Yahudi, membunuh ratusan askar Israel dan mengambil hampir 200 orang sebagai tebusan.

Pengurusan Starbucks berkata kiriman itu "merosakkan reputasi syarikat" di samping mengundang reaksi negatif pelanggan.

Syarikat itu turut berkata ia menerima lebih 1,000 aduan, di samping mendakwa menerima panggilan telefon bersifat ugutan.

Bagaimanapun, kesatuan pekerja itu dalam saman balas difailkan di Pennsylvania berkata kiriman itu dimuat naik oleh ahlinya tanpa kebenaran.

Menurutnya, Starbucks sengaja menggunakan insiden itu bagi menyerang pekerja yang terlibat dalam kesatuan.

WhatsApp Image 2023-10-26 at 1.54.31 PM
Kiriman dalam Instagram Starbucks Workers United yang mengajak kesatuan lain menyatakan sokongan mereka terhadap gencatan senjata di Gaza.

Kiriman 9 Oktober di akaun X Starbucks Workers United itu berbunyi, "Solidariti bersama Palestin!", dan disertakan gambar jentolak yang merobohkan dinding di sempadan Gaza dan Israel, dipercayai diambil ketika serangan Hamas pada 7 Oktober.

Kiriman itu bagaimanapun diturunkan selepas 40 minit, tetapi mendapat perkongsian meluas dalam kalangan kesatuan sekerja lain yang turut menyatakan sentimen pro-Palestin.

Sementara itu, Starbucks dalam satu kenyataan menuduh kesatuan tersebut menyokong "keganasan yang dilakukan oleh Hamas".

Naib Presiden Eksekutif Starbucks Sara Kelly berkata syarikat itu "mengutuk sekeras-kerasnya terorisme, kebencian dan keganasan", sambil menambah pandangan ahli kesatuan itu langsung tidak mencerminkan pendirian Starbucks dalam isu konflik di Palestin.

Tidak setakat itu, pengurusan Starbucks turut menulis surat kepada Dewan Perniagaan Yahudi Ortodoks yang berpangkalan di New York, menyatakan syarikat itu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pekerja yang "menyokong keganasan Hamas".