- Iklan -
Berita

'Jerebu tidak boleh jadi kebiasaan': Malaysia gesa Indonesia bertindak

Menteri Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Malaysia masih 'serius' mempertimbangkan undang-undang sama dengan Singapura yang meletakkan tanggungjawab terhadap syarikat ke atas pencemaran udara.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Jerebu menyelubungi menara pencakar langit ikonik Kuala Lumpur, 3 Oktober.
Jerebu menyelubungi menara pencakar langit ikonik Kuala Lumpur, 3 Oktober.

Malaysia menggesa Indonesia dan sekumpulan negara di Asia Tenggara untuk mengambil tindakan memandangkan kualiti udara semakin teruk di seluruh negara akibat kebakaran di republik itu, kata menteri alam sekitar kepada Reuters hari ini. 

Kualiti udara mencecah paras tidak sihat di beberapa bahagian di Malaysia sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan Kuala Lumpur menyalahkan ia berpunca daripada kebakaran di Indonesia walaupun Jakarta menafikan sebarang asap merentasi sempadannya ke negara ini.

Hampir setiap musim kemarau, asap daripada kebakaran hutan akibat aktiviti pembukaan tanah bagi penanaman kelapa sawit dan pulpa di Indonesia menyelubungi di sebahagian besar wilayah, membawa risiko kepada kesihatan awam dan membimbangkan pengusaha pelancongan dan syarikat penerbangan.

Kebanyakan syarikat yang memiliki ladang ini adalah syarikat asing atau tersenarai asing.

Menurut saintis, kebakaran yang menyebabkan jerebu menyelubungi di seluruh wilayah pada 2015 dan 2019 berpunca daripada pembakaran jutaan hektar tanah dan menghasilkan pelepasan yang asap paling banyak.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau menghantar surat kepada rakan sejawatnya dari Indonesia minggu ini mengenai jerebu. 

“Kami menyerahkan surat kami untuk memaklumkan kepada kerajaan Indonesia dan menggesa mereka agar mengambil tindakan terhadap perkara itu,” katanya dalam satu wawancara. 

"Kita tidak boleh terus kembali kepada keadaan jerebu sebagai sesuatu yang normal."

Beliau berkata kebanyakan titik panas yang menunjukkan kebakaran adalah di Indonesia.

Katanya, kerajaan juga menghantar surat kepada syarikat perladangan milik Malaysia yang beroperasi di Indonesia untuk memastikan mereka mematuhi undang-undang dan mencegah pembakaran. 

Beliau menggesa tindakan bersama Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) sama ada melalui perundangan atau perjanjian untuk mencegah jerebu tahunan.

"Saya berharap setiap negara dapat bersikap terbuka untuk mencari penyelesaian kerana ia mengakibatkan kerosakan kepada ekonomi, pelancongan, terutamanya kesihatan, adalah besar akibat jerebu," katanya. 

Beliau berkata Malaysia masih "serius" mempertimbangkan undang-undang sama dengan Singapura yang meletakkan tanggungjawab terhadap syarikat ke atas pencemaran udara. 

"Tetapi terdapat kebimbangan sama ada Malaysia akan dapat mendakwa pihak melakukan pencemaran yang berpangkalan di luar negara," katanya.