- Iklan -
Berita

Jerebu semakin teruk, kerajaan akan lakukan pembenihan awan, tutup sekolah

Jabatan Alam Sekitar berkata kualiti udara semakin merosot, terutamanya di bahagian barat Semenanjung.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Jerebu menyelubungi ibu Kota Kuala Lumpur, 2 Oktober.
Jerebu menyelubungi ibu Kota Kuala Lumpur, 2 Oktober.

Malaysia akan melakukan pembenihan awan dan bersiap sedia untuk menutup sekolah ketika kualiti udara di beberapa kawasan semakin merosot, menurut Jabatan Alam Sekitar, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya pusingan baru pencemaran akibat kebakaran hutan. 

Hampir setiap musim kemarau, asap daripada kebakaran hutan akibat aktiviti pembukaan tanah bagi penanaman kelapa sawit dan pulpa di Indonesia menyelubungi di sebahagian besar wilayah, membawa risiko kepada kesihatan awam dan membimbangkan pengusaha pelancongan dan syarikat penerbangan.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, dalam satu kenyataan lewat semalam berkata, kualiti udara Malaysia semakin merosot, khususnya di bahagian barat Semenanjung Malaysia, dengan 11 kawasan merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat.

Minggu lalu, Malaysia mengumumkan kebakaran di negara jiran Indonesia menyebabkan pencemaran meskipun republik itu menafikan mengesan sebarang asap rentas sempadan ke Malaysia.

Jabatan Alam Sekitar berkata sebelum ini sebuah agensi meteorologi serantau mengesan hampir 250 "titik panas", menunjukkan kebakaran, di pulau Sumatera Indonesia dan di bahagian pulau Borneo, tanpa satu pun di Malaysia. 

Wan Abdul Latiff berkata, usaha membersihkan udara dengan melakukan pembenihan awam dan langkah lain untuk menangani pencemaran akan berkuat kuasa apabila bacaan IPU mencecah 150 dalam tempoh lebih 24 jam.

Sekolah dan tadika mesti menghentikan semua aktiviti di luar apabila bacaan IPU mencapai 100, dan ditutup apabila mencapai 200, katanya. 

Kumpulan alam sekitar Greenpeace pula menggesa negara di rantau ini memperkenalkan undang-undang untuk menghentikan syarikat perladangan yang menyebabkan pencemaran udara.