- Iklan -
Berita

Sosma berkesan lumpuhkan sindiket jenayah, kata timbalan KPN

Ayob Khan Mydin Pitchay berpendapat undang-undang sedia ada berkaitan penyeludupan rokok dan arak, kurang berkesan bagi membanteras kegiatan berkenaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay. Gambar: Bernama
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay. Gambar: Bernama

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) perlu digunakan secara meluas, bagi membanteras kegiatan jenayah berkaitan sindiket di negara ini secara menyeluruh, kata Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.

Berkongsi perkara berkenaan ketika menjadi panel Seminar Keselamatan Sempadan Negara 2023 di Cyberjaya hari ini, beliau berkata keberkesanan Sosma dapat dilihat, antaranya untuk membanteras sindiket penyeludupan manusia ketika beliau menjawat jawatan sebagai ketua polis Johor. 

“Ketika itu, penggunaan Sosma dilihat berkesan dalam memerangi sindiket-sindiket ini, dengan tangkapan bukan sahaja melibatkan tekong-tekong, tetapi juga anggota dan pegawai pihak berkuasa terbabit sindiket berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berpendapat undang-undang sedia ada berkaitan penyeludupan rokok dan arak, kurang berkesan bagi membanteras kegiatan berkenaan. 

“Seperti di Johor sebelum ini, pihak kita telah melakukan 10 kali tangkapan membabitkan individu yang sama berkaitan kes sama. Jenayah melibatkan sindiket ini perlu menggunakan Sosma, baru boleh tangkap dan melumpuhkan kegiatan jenayah berkenaan,” katanya.

Sosma memperuntukkan langkah-langkah khas yang berkaitan dengan kesalahan terhadap negara, untuk mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam.

Sosma pertama kali dicadangkan pada 2012, sebagai pengganti Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kini dimansuhkan, yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Pada Ogos, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh dalam sidang Dewan Rakyat berkata usaha meneliti penambahbaikan Sosma hampir selesai.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan menegaskan bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dalam soal integriti membabitkan anggota penguatkuasaan, serta mendedahkan pernah menangkap seorang Ketua Jabatan Jenayah Narkotik (JSJN), yang bersekongkol dengan sindiket dadah.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.