- Iklan -
Berita

NGO bantah tanah rizab Melayu dipindah milik kepada bukan Melayu

Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia berkata ini bertentangan dengan undang-undang mengenai perkara itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia Hishamuddin Hashim bercakap pada penyerahan memorandum mengenai pemindahan tanah rizab Melayu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia Hishamuddin Hashim bercakap pada penyerahan memorandum mengenai pemindahan tanah rizab Melayu.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak mengembalikan status sejumlah tanah Rizab Melayu yang dipindah milik kepada individu dan syarikat bukan Melayu.

Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) berkata langkah PTG Perak mengarahkan satu syarikat bukan Melayu menggantikan tanah lain milik syarikat berkenaan kepada Rizab Melayu dilihat tidak selari dengan undang-undang.

"Undang-undang telah memperuntukkan bahawa tanah Rizab Melayu boleh dikembalikan dan pemilikan tanah tersebut boleh diperbetulkan semula dengan mengguna pakai Seksyen 380, Seksyen 417 dan Seksyen 419 Kanun Tanah Negara 1965," Setiausaha Agung MHO Hishamuddin Hashim semasa menyerahkan memorandum kepada PTG Perak semalam.

Ia susulan laporan tanah rizab Melayu seluas 3,214 hektar di Sitiawan dimiliki oleh syarikat bukan Melayu, selain tanah lain yang dipindah hak milik kepada individu bukan Melayu.

Ekoran itu, Pengarah PTG Perak Mohamad Fariz Mohamad Hanip dilaporkan mengarahkan syarikat berkenaan menggantikan tanah bukan rizab Melayu milik syarikat berkenaan di Teluk Intan dan Tapah kepada Rizab Melayu.

Menurut Fariz, tanah milik syarikat yang ditukar menjadi rizab Melayu hanya pada sekitar 15% daripada jumlah keseluruhan tanah dimiliki di Sitiawan.

Status tanah Rizab Melayu di Sitiawan itu menjadi isu apabila berpindah milik kepada bukan Melayu menerusi penjualan sahaja, syarikat Melayu kepada syarikat bukan Melayu.

Sebelum ini, MHO pada 15 Mei menyerahkan memorandum kepada pengarah PTG Perak berhubung status tanah-tanah tersebut.

Menurut Hishamuddin, tindakan memindah milik tanah Rizab Melayu juga bertentangan dengan Enakmen Tanah Rizab Melayu 1933 yang menyatakan sebarang urusan terbatal sekiranya tanah dipindahkan kepada bukan Melayu.

“Malah, di bawah Enakmen Rizab Melayu 1933, tanah rizab Melayu yang wujud pada tahun 1933 tidak boleh dipinda atau dimansuhkan melainkan melalui perbahasan di Parlimen,” katanya.

Menurut Hishamuddin, langkah awal PTG Perak mengenakan sekatan dengan memasukkan Kaveat Pendaftar bagi kesemua tanah yang terlibat untuk menghalang sebarang transaksi atau pindah milik juga tidak menyelesaikan masalah.

Ini kerana pemilik tanah bukan Melayu apabila berdepan kesukaran akibat membeli tanah yang mengandungi sekatan.

Katanya, PTG Perak diharap dapat bertindak dan mengambil langkah melindungi tanah berstatus Rizab Melayu di Sitiawan seperti mana yang diperuntukkan undang-undang.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi