- Iklan -
Berita

Stok bekalan beras negara mencukupi, kata Mat Sabu

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata simpanan itu boleh bertahan sehingga lima bulan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu. Gambar: Bernama
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu. Gambar: Bernama

Stok bekalan beras negara mencukupi untuk menampung keperluan domestik bagi tempoh empat hingga lima bulan ini dan belum ada keperluan kecemasan untuk menggunakan stok penimbal, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu. 

Beliau berkata setakat ini stok bekalan beras negara adalah sebanyak 900,000 tan metrik meliputi 250,000 tan metrik stok penimbal kerajaan dan 650,000 tan metrik stok dagangan. 

“Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berpandangan bahawa masih belum terdapat keperluan mendesak yang bersifat kecemasan untuk menggunakan stokpail (stok penimbal) yang berjumlah 250,000 tan metrik.

“Stok dagangan sedia ada sebanyak 650,000 tan metrik adalah mencukupi bagi menampung keperluan domestik,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat hari ini. 

Mengulas kenaikan harga beras beliau berkata, harga beras putih tempatan kekal pada RM2.60 per kilogram (kg) manakala kenaikan berkenaan hanya membabitkan beras putih import (BPI).

“Mulai tahun 2023, Bernas menerima impak berganda kerana bukan sahaja terpaksa menyerap kenaikan kos yang semakin meningkat, malah membekalkan jumlah beras 38% lebih tinggi daripada biasa. Namun, BERNAS terus komited mengimport beras bagi mencukupkan bekalan. 

“Pelarasan harga BPI sehingga 36% iaitu daripada RM2,350 kepada RM3,200 per tan metrik mulai 1 Sept 2023 dilaksanakan oleh Bernas bagi mengurangkan kerugian yang semakin tinggi dalam menampung kos belian dan kos pengimportan,” katanya. 

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata kekurangan bekalan beras di pasaran domestik dijangka dapat dipulihkan dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata kementerian juga sedang giat melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi negara supaya mencapai sasaran Kadar Sara Diri (SSR) beras iaitu sebanyak 80% menjelang 2030.

Antara inisiatif dilakukan adalah pelaksanaan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) yang diperluaskan dengan menyasarkan pelaksanaan program di kawasan seluas 150,000 hektar sawah padi melibatkan purata pengeluaran hasil sebanyak tujuh tan bagi setiap hektar. 

Selain itu, dalam membantu golongan pengusaha makanan, KPKM menerusi sesi libat urus pada 15 September lepas bersama persatuan peniaga, telah menawarkan lesen borong kepada golongan terbabit yang bernaung di bawah persatuan perniagaan. 

“Melalui lesen borong ini, pengusaha makanan dapat menikmati harga belian BPI pada harga borong tetap iaitu RM160/50kg (harga pintu gudang),” katanya. 

Selain itu, Mohamad berkata pihaknya dalam usaha untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India dalam masa terdekat, bagi mencari penyelesaian terbaik isu sekatan eksport beras. 

“Selain itu, Bernas turut dalam perundingan bersama negara sumber beras yang lain seperti Vietnam, Thailand dan Kemboja,” katanya. 

Mohamad berkata pelbagai langkah intervensi dilakukan bagi mengatasi isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) termasuk mengesan aktiviti salah laku seperti penyorokan beras dan memastikan rantaian bekalan pengedaran beras mematuhi perundangan dan peraturan.

Katanya Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) – diadakan sejak 16 Ogos lepas meliputi pemeriksaan di kilang padi dan pemborong beras – mendapati tiada bukti kukuh yang mengesahkan dakwaan penyelewengan penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label beras putih dan dijual pada harga beras import lebih tinggi.