- Iklan -
Berita

Najib terima RM60.6 juta daripada Putera Faisal, kata penganalisis BNM

Adam Ariff Mohd Roslan berkata bekas perdana menteri itu menerima wang tersebut dalam dua transaksi antara 23 Februari dan 13 Jun 2011.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak, diiringi anggota keselamatan pada perbicaraan mahkamah di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak, diiringi anggota keselamatan pada perbicaraan mahkamah di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Seorang penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa akaun bank peribadi milik Najib Razak menerima lebih RM60.6 juta melalui dua transaksi pada Februari dan Jun 2011.

Adam Ariff Mohd Roslan, 29, berkata berdasarkan analisis beliau, bekas Perdana Menteri itu menerima RM60,629,839.43 daripada Putera Faisal Bin Turkey Bin Bandar Alsaud pada 23 Februari 2011 dan 13 Jun tahun sama.

Saksi pendakwaan ke-47 itu berkata demikian ketika mengesahkan laporan jejak wang pada perbicaraan Najib membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata nombor akaun bank pelanggan yang membuat pesanan (Putera Faisal Bin Turkey Bin Bandar Alsaud) adalah sama dengan nombor akaun bank Riyad yang dihantar dana oleh syarikat Good Star Ltd sebelum ini.

Good Star Ltd adalah syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low. 

“Akaun bank Riyad telah memindahkan dana ke akaun Najib dalam tempoh satu hingga tiga hari perniagaan selepas Good Star Ltd menghantar dana ke akaun bak Riyad itu,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan kedekatan jarak masa serta nilai dana yang dihantar dan dipindah itu, adalah munasabah untuk mempercayai bahawa akaun bank Riyad telah digunakan sebagai pengantara bagi memindahkan wang daripada Good Star Ltd ke akaun Najib.    

Terdahulu, Adam Ariff berkata dalam tempoh tiga tahun iaitu dari 2009 hingga 2011, Good Star Ltd telah menerima lebih AS$810 juta daripada 1MDB.

“Pemeriksaan terhadap penyata bank Good Star bagi akaun bernombor 11116073, termasuk akaun semasa US$ bernombor 11116073.2000 dan akaun semasa CHF (Swiss franc) bernombor 11116073.2007, mengesahkan penerimaan dana daripada 1MDB dan Pengarah Petrosaudi International Ltd (PSI) Tarek Obaid,” katanya.

Beliau berkata 1MDB telah memindahkan AS$700,000,000 dan AS$110,000,000 ke akaun RBS Coutts milik Good Star.

“Sebelum menerima US$700 juta daripada 1MDB, baki dalam akaun Good Star ialah kosong,” katanya.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.