- Iklan -
Berita

Agenda reformasi Anwar diragui selepas sekutu dibebas daripada tuduhan rasuah

Perdana menteri berdepan tuduhan, termasuk dari partinya sendiri, mengkhianati pengundi dan sekutu progresif.

Reuters
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Kemuncak Asean-China ke-26 di Jakarta, Indonesia, pada 6 September. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Kemuncak Asean-China ke-26 di Jakarta, Indonesia, pada 6 September. Gambar: Reuters

Persoalan mengenai komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim memerangi rasuah mula timbul selepas beberapa episod pembebasan beberapa ahli politik, dengan ahli Parlimen dan penganalisis memberi amaran ia boleh mendatangkan risiko kehilangan pengundi, memperdalam perpecahan dalam gabungan kerajaan, dan menjejaskan agenda reformasinya. 

Dengan laungan "reformasi" beliau, Anwar berkempen sebagai penyokong anti-rasuah selama lebih dua dekad sebagai ketua pembangkang. 

Ramai yang berharap pelantikannya sebagai perdana menteri November lalu akan membawa perubahan dan meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa yang tercemar sejak beberapa tahun kebelakangan ini oleh skandal berbilion dolar melibatkan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tetapi Anwar kini berdepan tuduhan, termasuk daripada partinya sendiri, mengkhianati pengundi dan sekutu progresif, selepas pendakwa raya bulan ini menggugurkan 47 pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan gagal merayu ke atas pembebasan bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes berkait 1MDB. 

Anwar berkata beliau tidak campur tangan dalam kes mahkamah, namun kredibiliti peguam negara sering dipersoalkan kerana mereka dilantik oleh perdana menteri.

Hassan Karim, ahli Parlimen dari PKR, berkata beliau berasa "kecewa" terhadap perdana menteri, yang disifatkannya sebagai kawan rapat.

“Anwar lebih mementingkan kelangsungan kerajaan dan kuasanya daripada agenda reformasi yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya kepada Reuters. 

Reuters cuba mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara dan pejabat Anwar namun tidak berjaya.

Zahid dan Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas pertuduhan berasingan membabitkan 1MDB, adalah pemimpin Umno yang sering ditentang Anwar dalam kempenya.

Anwar berganding bahu dengan bekas musuhnya tahun lalu untuk memperoleh majoriti di Parlimen. 

Jabatan Peguam Negara berkata keputusan menggugurkan pertuduhan terhadap Zahid adalah bertujuan meneliti bukti baru, dan mengulangi bahawa ia dibuat secara bebas.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menghentikan pengkritik mempersoalkan mengapa pertuduhan digugurkan selepas empat tahun perbicaraan di mahkamah dan selepas hakim sudah memutuskan wujud kes prima facie.

Pembangkang bercadang untuk membantah pertuduhan yang digugurkan hari ini. 

Parti Muda pula menarik sokongan kepada gabungan Anwar berhubung kes rasuah, dengan ahli Parlimen tunggalnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata menggugurkan kes terhadap Zahid adalah melintasi "garisan merah." 

“Apabila anda berkempen di atas landasan reformasi dan antirasuah yang jelas, dan anda melakukan sebaliknya, bersedialah untuk dihukum oleh rakyat,” katanya.

Janji reformasi Anwar sedang dipantau rapi oleh pengundi dan pelabur asing, sudah berwaspada selepas skandal 1MDB. 

Rakyat Malaysia juga memerhati sama ada Najib boleh dibebaskan atau tidak. 

Najib memohon pengampunan diraja atas sabitan kesalahannya dan meminta pertuduhan lain yang dikenakan terhadapnya dikaji semula. 

Pengguguran kes itu berlaku di tengah-tengah kebimbangan mengenai hak demokrasi dan kebebasan bersuara selepas kerajaan Anwar menyekat beberapa portal berita, membuka siasatan berkaitan hasutan dan rasuah terhadap pemimpin pembangkang, dan meningkatkan penelitian terhadap komuniti LGBTQ+ di negara ini.

"Kami masuk sebagai progresif tetapi kini kami dilihat sebagai regresif," kata seorang ahli Parlimen kerajaan yang enggan namanya disiarkan.

Syed Ibrahim Syed Noh, seorang lagi ahli parlimen PKR, memberi amaran kerajaan boleh hilang penyokong jika gagal memenuhi janji reformasi - termasuk memisahkan kuasa pendakwa raya dan peguam negara, dan mengkaji semula subsidi. 

Kekecewaan pengundi sudah terserlah.

Pilihan Raya Kecil yang diadakan beberapa hari selepas keputusan kes Zahid menunjukkan peratusan keluar mengundi merosot hampir satu pertiga berbanding pilihan raya pada November lalu, menurut Wong Chin Huat, seorang pensyarah sains politik di Universiti Sunway Malaysia.

Walaupun ia dimenangi oleh calon daripada gabungan Anwar, Wong berkata data itu menunjukkan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap kerajaan, dengan beberapa penyokong Anwar beralih kepada pembangkang. 

"Jika Anwar terus mengambil mudah terhadap sokongan kumpulan liberal dan minoritinya, mereka mungkin beralih kepada parti lain atau berkecuali," kata Wong.