- Iklan -
Berita

Polis tolak permohonan penganjur perhimpunan KL

Mereka mengatakan bahawa maklumat yang dikemukakan pemohon ‘tidak lengkap’.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain. Gambar: Bernama
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain. Gambar: Bernama

Polis menolak permohonan penganjur perhimpunan yang dirancang pada Sabtu ini, kerana maklumat yang dikemukakan tidak lengkap.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata antara butiran yang tidak dinyatakan secara terperinci oleh penganjur, ialah lokasi dan nama penganjur perhimpunan ketika membuat permohonan.

“Kami tidak boleh kata terima notis pemakluman sebab maklumat diberikan tidak lengkap, maka polis tidak boleh terima.

“Sebelum ini, dikatakan perhimpunan akan dibuat di sekitar sebuah pusat beli-belah di ibu negara, namun maklumat terkini diterima polis menyatakan ia akan dibuat di salah sebuah masjid di Kampung Baru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur, malam ini. 

“Ia tidak membantu kami, sebab tiada ketetapan daripada penganjur. Ini akan sukarkan ramai pihak termasuk pengguna jalan raya, saya amat berharap penganjur bertanggungjawab bantu kami untuk selaraskan penugasan pada Sabtu ini,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan polis, sekali gus akan membuat persediaan sewajarnya jika perhimpunan itu dibuat.

“Polis tidak mahu bertindak berlebihan dan kami akan membuat persediaan. Saya percaya mereka individu berpengalaman dalam menganjurkan perhimpunan seperti ini dan faham mengenai implikasi undang-undang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis sudah menerima enam laporan berhubung penganjuran perhimpunan itu.