- Iklan -
Berita

KKD teliti keperluan melesen platform media sosial, kata Fahmi

Menteri komunikasi dan digital itu berkata langkah pelesenan dan pendaftaran mesti dipertimbangkan untuk memastikan kemampanan ekosistem industri media nasional.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang meneliti keperluan untuk melesenkan penyedia platform besar seperti Google, Meta, dan TikTok, yang menjana pendapatan menerusi kandungan daripada organisasi media tempatan.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan pihak platform berkenaan telah dijalankan, bagi memperhalusi perkara itu yang bertujuan memberi pulangan kepada industri media negara ini.

“Setelah pertemuan MCMC dan KKD dengan beberapa platform media sosial yang besar Google, Meta dan TikTok, saya telah bincang beberapa perkara dengan MCMC untuk meneliti keperluan untuk kita mendaftar dan melesenkan beberapa platform ini.

“Kita melihat banyak kandungan yang dihasilkan organisasi media Malaysia, dimanfaatkan di media sosial yang terdapat di platform besar ini, tetapi pulangan untuk media kita (Malaysia) sangat kurang,” katanya ketika ditemui pemberita di program Kasih@HAWANA 2023 di sini, hari ini.

Fahmi berkata mekanisme seperti melesenkan dan mendaftar ketiga-tiga platform media itu, perlu dipertimbangkan sebagai langkah memastikan ekosistem industri media negara terus mampan.  

“Kita bukan hanya nak bantu wartawan dan kakitangan yang menghadapi masa sukar tetapi juga membantu industri media itu sendiri,” katanya.

Ogos lepas, Fahmi dalam ciapan di platform X memaklumkan, inisiatif itu dijangka akan sedikit sebanyak membantu industri media menjana pendapatan tambahan.

Beliau berkata sebagai menteri dalam kerajaan, beliau sendiri perlu memainkan peranan untuk memastikan nasib kakitangan media di negara terbela.