Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin ditahan menjelang perhimpunan "Selamatkan Malaysia" yang dirancang sempena Hari Malaysia hujung minggu ini.
Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard, ditangkap di hadapan Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur, sewaktu beliau dipercayai menghadiri satu mesyuarat.
Beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur.
Demonstrasi itu dianjurkan Perikatan Nasional (PN) bagi membantah keputusan kontroversi peguam negara yang menghentikan perbicaraan kes rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya.
Menurut penganjur, demonstrasi itu akan diadakan di Kampung Baru, dan dijangka disertai oleh pemimpin utama parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan masyarakat sivil.
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap penganjur perhimpunan itu, dengan berkata mereka mesti mematuhi keperluan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA).
Katanya, mengikut Seksyen 9(1) APA, mana-mana pihak yang berhasrat mengadakan perhimpunan perlu memohon permit lima hari lebih awal.
Badan pemantau pilihan raya Bersih, dalam pada itu menggesa pihak berkuasa supaya membenarkan perhimpunan itu selaras dengan hak untuk berhimpun secara aman, berkata kenyataan Ayob adalah "adalah tidak tepat".
“Hal ini adalah tidak tepat memandangkan APA hanya memerlukan penganjur himpunan untuk memberi notis kepada pihak berkuasa dan bukannya memohon permit atau keizinan polis seperti waktu dulu,” katanya.
Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty juga mengecam kerajaan, mengingatkannya supaya tidak menggunakan APA, undang-undang yang digunakan oleh kerajaan BN sebelum ini terhadap penunjuk perasaan yang menurut pengkritik tidak berperlembagaan.