Pembangkang tuntut 'janji' speaker bentang usul bahas pembebasan Zahid
Mereka berkata kes melibatkan presiden Umno itu perlu dibahas kerana ia mendapat perhatian semua rakyat Malaysia termasuk parti-parti dalam kerajaan.
Terkini
Perikatan Nasional (PN) menuntut janji Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul semalam yang membenarkan pembangkang membahaskan usul mengenai kes mahkamah membabitkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kasim dari PN berkata kes melibatkan presiden Umno itu perlu dibahas kerana ia mendapat perhatian semua rakyat Malaysia termasuk parti-parti dalam kerajaan.
"Semua pihak telah membuka mulut menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi penjelasan. Prima facie ini membuktikan sepenuhnya terdapat kes, maka pihak yang didakwa perlu membuat pembelaan.
"AGC habiskan masa empat tahun membicarakan kes ini. Kalau tahu tak berat kes ini, tarik daripada awal," katanya dalam sidang Parlimen pagi tadi.
Katanya, penjelasan yang diberikan Jabatan Peguam Negara tidak memberi pencerahan mengenai hala tuju kes Zahid.
Minggu lalu mahkamah memberikan keputusan lepas tanpa bebas kepada ahli Parlimen Bagan Datuk itu berhubung 47 kes membabitkan dana Yayasan Akal Budi, selepas permohonan oleh pihak pendakwa raya.
Usul membahaskan kes tersebut dibawa oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal semalam.
Johari berkata usul membahas kes Zahid perlu dilakukan selepas pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) namun ia ditangguhkan ke hari ini.
Sebelum itu, Shahidan membangkitkan peraturan mesyuarat 18(1), iaitu ahli Parlimen boleh meminta kebenaran merundingkan isu-isu berkepentingan awam.
Timbalan speaker Ramli Mohd Nor ketika mengulas peraturan itu berkata keputusan speaker adalah muktamad.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee berkata speaker berjanji kepada pihak pembangkang berkenaan usul tersebut.
"Speaker menggunakan teks untuk menangguhkan mesyuarat tanpa menghiraukan komitmen yang dibuat," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyudin Hasan berkata walaupun peguam negara tidak boleh hadir ke Parlimen, pertanyaan boleh diberi kepada menteri yang menjaga undang-undang.
"Menteri undang-undang cukup arif mengenai perkara ini, boleh memberi jawapan kepada apa yang dibangkitkan oleh ahli-ahlu Parlimen pembangkang." katanya.
Keadaan menjadi sedikit panas apabila Ahli Parlimen Pendang Awang Solahuddin Hashim menyebut “kerajaan pembohong” ketika mengulas mengenai janji speaker membenarkan usul itu.
Kenyataan itu dibantah oleh Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dari PH yang mendakwa kenyataan itu membawa sangkaan jahat di bawah peraturan 36(6).
Bagaimanapun Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bertukar ke kerusi pembangkang semalam selepas menarik sokongan kepada kerajaan berkata kritikan itu tidak ditujukan kepada mana-mana ahlu Parlimen secara peribadi, tetapi kepada kerajaan.
"Ini adalah pembohongan terbesar peringkat nasional.
“Sebelum ini kata hendak lawan rasuah, takkan gugurkan kes, hari ini membebaskan mereka," katanya.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.