- Iklan -
Berita

Pelangai berbeza dari Pulai, Simpang Jeram, kata penganalisis

Faktor utama ialah demografi pengundi, hampir 70% daripadanya adalah Melayu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motosikal melintasi deretan bendera Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan di Simpang Jeram.
Seorang penunggang motosikal melintasi deretan bendera Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan di Simpang Jeram.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai dilihat akan menjadi “padang” yang berbeza dengan Simpang Jeram atau Pulai, sekali gus menyekat momentum kemenangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ke negeri Pantai Timur itu, kata penganalisis. 

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb berkata, ini kerana Pelangai mempunyai demografi pengundi yang berbeza. 

“Di Pulai dan Simpang Jeram, pengundi Melayu dan bukan Melayu hampir sama rata manakala di Pelangai, pengundi Melayu lebih daripada 70%. 

"Memandangkan Perikatan Nasional (PN) menang lebih 90% daripada kerusi Melayu majoriti pada Pilihan Raya Negeri lalu, PN mempunyai harapan cerah untuk menang," katanya kepada MalaysiaNow. 

Calon PH, Suhaizan Kayat menang di Pulai dengan majoriti kira-kira 18,000 undi, manakala Nazri Abdul Rahman menewaskan Dr Mazri Yahya daripada PN di Simpang Jeram dengan majoriti 3,514. 

Meskipun parti kerajaan berjaya mempertahankan dua kerusi itu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil dalam satu hantaran di Facebook berkata, BN hilang lebih 27,000 undi Melayu di kedua-dua kerusi tersebut. 

“Undi Melayu kepada PN meningkat 9,000 daripada 20,000 semasa Pilihan Raya Umum ke-15 kepada 29,000 pada PRK ini. 

"Undi Melayu kepada PH-BN pula merosot 27,000 daripada 34,000 pada PRU15 kepada 7,000 pada PRK ini. Daripada jumlah ini dianggarkan 18,000 tidak keluar mengundi dan 9,000 lagi menukar undi kepada PN," kata bekas ketua penerangan Umno itu. 

PRK Pelangai dijadualkan berlangsung pada 7 Oktober depan berikutan kematian penyandang, Johari Harun bulan lepas. 

Beliau antara 10 mangsa yang terkorban dalam satu nahas membabitkan sebuah pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam. 

Johari yang juga exco kerajaan Pahang itu menang kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi dalam persaingan empat penjuru.

Beliau memperoleh 7,308 undi berbanding 3,260 undi diterima lawannya Kasim Samat dari PN, manakala dua lagi calon iaitu Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada PH (2,031) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Namun bagi penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali, kemenangan PH di Simpang Jeram dan Pulai  mencipta momentum untuk gabungan PH-BN di Pelangai. 

"Kerjasama antara PH-BN akan lebih terserlah selepas ini. DUN Pelangai berada dalam kawasan Parlimen Bentong yang mempunyai sejumlah pengundi bukan Melayu yang signifikan.

"Orang Umno akan memberikan sokongan penuh kerana calon BN yang bertanding di sini," katanya. 

Katanya, masalah kepada gabungan itu hanya timbul jika calon PH yang bertanding, yang mana penyokong BN akan menjadi ragu-ragu untuk memberikan sokongan.

"Tiada masalah untuk pengundi PH menyokong calon BN," katanya. Menurut Azmil, kadar pengundian yang rendah di kedua-dua kerusi itu tidak boleh memberi gambaran penuh kepada kemenangan PH. 

Kadar keluar mengundi di Simpang Jeram dan Pulai masing-masing hanya pada 45% dan 59%, sekali gus tersasar daripada sasaran 70%.

Tambahnya, keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dijangka menjadi faktor yang mempengaruhi undi Melayu di Pelangai, berbanding di Simpang Jeram dan Pulai.

"Keputusan itu tidak dapat meyakinkan pengundi BN yang Umno dalam proses perubahan dan tidak memberikan mereka sebab kenapa mereka perlu menyokong BN dan tidak memberikan undi mereka kepada PN," katanya.

Zahid mencetuskan kontroversi apabila mahkamah membuat keputusan melepas tanpa membebaskan presiden Umno itu berhubung 47 kes membabitkan wang Yayasan Akal Budi, susulan permohonan oleh pihak pendakwa raya.

Azmil berkata, isu tersebut masih tidak menggugat PH di Simpang Jeram dan Pulai kerana faktor kadar pengundian, kelelahan pengundi dan undi simpati ekoran kematian penyandang di kedua-dua kerusi tersebut, Salahudin Ayub dari Amanah.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi