- Iklan -
Berita

Bersatu kecam hukum dua darjat antara Zahid dan penganggur curi RM22

Ia mengatakan sistem keadilan harus adil dan saksama kepada semua.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi tersenyum ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas pertuduhan rasuah terhadapnya digugurkan, pada 4 September. Gambar: Reuters
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi tersenyum ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas pertuduhan rasuah terhadapnya digugurkan, pada 4 September. Gambar: Reuters

Bersatu hari ini membandingkan laporan berita seorang penganggur berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun kerana mencuri duit tabung masjid sebanyak RM22 dengan tindakan Jabatan Peguam Negara menghentikan kes rasuah jutaan ringgit terhadap Ahmad Zahid Hamidi, mempersoalkan layanan berbeza antara "penganggur" dan timbalan perdana menteri. 

Sasha Lyna Abdul Latif, timbalan pengerusi Biro Perlembagaan dan Undan-undang Bersatu, berkata Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) meskipun wujud kes prima facie terhadapnya.

"Ini menyebabkan sistem keadilan tercemar sepenuhnya," katanya. 

"Di bawah perlembagaan kita, sistem keadilan mestilah adil dan saksama dengan semua orang, tanpa mengira status tertuduh. 

“Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa semua orang adalah mempunyai hak sama rata di Malaysia, sama ada miskin atau jutawan atau timbalan perdana menteri. 

"Namun, orang ramai dapat melihat bahawa di bawah pentadbiran ketika ini prinsip suci ini telah diabaikan. Bagaimanakah rakyat akan mengambil kira atau menghormati undang-undang dan sistem keadilan dalam keadaan ini?"

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. 

Beliau diberi penghakiman DNAA pada 4 September lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, yang dilantik hanya bulan lepas bagi menggantikan Raja Rozela Raja Toran yang secara tiba-tiba mengumumkan untuk "bersara awal", memaklumkan kepada hakim mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadap Zahid. 

Dalam kes masjid pula, penganggur yang turut didapati positif dadah ketika ditahan mengaku bersalah mencuri duit tabung masjid di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Sasha berkata ia boleh diterima sekiranya peguam negara menggunakan budi bicaranya untuk tidak mendakwa lelaki itu tanpa memaafkan perbuatan itu. 

"Dia boleh dilepaskan dengan amaran. Namun peguam negara melihat wajar meneruskan kes RM22, tetapi menghentikan kes terhadap timbalan perdana menteri membabitkan jutaan ringgit.

"Ketidaksamarataan ini mendedahkan sistem keadilan kita kepada rasa jijik dan cemuhan rakyat, dan kehilangan kredibiliti sepenuhnya. 

“Semua ini selepas hanya sembilan bulan pentadbiran PH-BN," tambahnya, merujuk kepada kerajaan pimpinan Pakatan Harapan dan BN. 

"Sekiranya pentadbiran Anwar Ibrahim meneruskan cara ini, kita menuju untuk menjadi negara yang gagal, dengan satu peraturan untuk yang berkuasa dan yang berbeza untuk yang miskin dan dirampas."