- Iklan -
Berita

Jangan risau dengan Zahid, kamu akan menang Pulai, Simpang Jeram, Umno beritahu DAP

Nur Jazlan Mohamed menegur pemimpin DAP Anthony Loke kerana menggesa peguam negara menjelaskan keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid Hamidi.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motosikal melintasi jalan yang penuh dengan deretan bendera Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional di Simpang Jeram. Johor.
Seorang penunggang motosikal melintasi jalan yang penuh dengan deretan bendera Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional di Simpang Jeram. Johor.

Nur Jazlan Mohamed mempersoalkan kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke kerana menggesa peguam negara menjelaskan keputusan menghentikan 47 pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. 

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu mengingatkan Loke bahawa beliau tidak bersuara apabila orang kuat partinya sendiri, Lim Guan Eng dibebaskan dalam kes banglo mewah bernilai RM2.8 juta di Pulau Pinang pada 2018.

“Sebab itulah sebagai kawan kepada Loke dalam kerajaan perpaduan, saya cuba nak kembalikan memori kisah Guan Eng ini kepada beliau. Mungkin Loke sudah lupa, almaklumlah kes dah lama berlaku... baru lima tahun lepas," kata Nur Jazlan, menjawab kenyataan Loke berikutan kritikan memuncak susulan keputusan peguam negara menggugurkan 47 pertuduhan rasuah terhadap Zahid pada Isnin.

Lim didakwa pada 2016 selepas didapati menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dan isterinya dalam kelulusan penukaran status tanah kepada syarikat swasta dua tahun sebelum itu. 

Kes berkenaan digugurkan pada 4 September 2018, hanya empat bulan selepas Lim dinamakan sebagai menteri kewangan.

Nur Jazlan berkata Loke tidak perlu bimbang tentang Zahid yang akan menjadi liabiliti kepada kerajaan campuran antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) menjelang Pilihan Raya Kecil Pulai dan Simpang Jeram Sabtu ini, sambil menambah naratif PH sejak 2018 sudah pun memusnahkan imej presiden Umno. 

Beliau berkata kenyataan Loke sebagai respons terhadap keputusan melepas dan membebaskan (DNAA) yang diberikan kepada Zahid adalah tidak tepat pada masanya, dan pemimpin gabungan PH, termasuk DAP, harus berlaku adil kepada presiden Umno itu.

Nur Jazlan, penyokong setia Zahid yang baru-baru ini mencadangkan agenda negara sekular dibawa DAP akan menjadi batu penghalang untuk mendapatkan sokongan orang Melayu terhadap gabungan PH-BN, mengingatkan rakan kongsi dalam kerajaan campuran Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak membuat kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara mereka.

Beliau melahirkan keyakinan peluang PH dalam dua pilihan raya kecil ini tidak akan terjejas oleh episod DNAA Zahid.

“Tapi daripada pengamatan saya, selepas Guan Eng didakwa dulu sampailah dia digugurkan pertuduhan oleh AGC (Jabatan Peguam Negara), saya lihat undi Cina kepada PH terutamanya DAP tak menurun pun malah bertambah dengan luar biasa pada PRU15 lalu.

“Sebagaimana orang Cina percayakan keadilan sistem kehakiman kita selepas kes Guan Eng digugurkan, saya percaya begitu juga keyakinan mereka masih sama dalam kes Zahid ini.”