- Iklan -
Berita

Bahrain-Malaysia raikan ulang tahun ke-50 tahun depan

Kedutaan Bahrain di Kuala Lumpur memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, budaya, pelancongan dan kesihatan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Malaysia dan Bahrain.
Bendera Malaysia dan Bahrain.

Prospek masa depan hubungan Bahrain-Malaysia cerah apabila kedua-dua negara bakal meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka tahun depan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin bagi memperingati Hari Kebangsaan Malaysia yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun, Kedutaan Bahrain di Kuala Lumpur memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, budaya, pelancongan dan kesihatan.

Kedua-dua negara komited untuk mengukuhkan hubungan perdagangan, mengaktifkan perjanjian sedia ada, dan memupuk hubungan rakyat dengan rakyat yang lebih kukuh, menurut kedutaan itu.

"Pada majlis khas Hari Kebangsaan Malaysia ini, adalah penting untuk mengiktiraf kesan mendalam hubungan Bahrain-Malaysia ke atas kehidupan rakyatnya.

"Kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan, dan kepelbagaian industri.

"Pertukaran budaya menggalakkan persefahaman dan penghargaan, memupuk semangat toleransi dan keharmonian dalam kalangan rakyat," menurut kenyataan itu.

Kedutaan itu menjelaskan ikatan kukuh antara Bahrain dan Malaysia menjadi bukti persahabatan dan kerjasama.

Malaysia dan Bahrain mula menjalin hubungan diplomatik pada 25 November 1974.

Hubungan dua hala melakar lembaran baharu apabila pada 2017, Raja Hamad Isa Al Khalifa bertitah untuk menubuhkan misi diplomatik Bahrain di Kuala Lumpur, yang mengukuhkan lagi komitmen hubungan antara kedua-dua negara.

Kerjasama ekonomi telah menjadi asas kepada hubungan Bahrain-Malaysia, dengan pertumbuhan yang ketara dalam perdagangan.

Malaysia mengeksport pelbagai jenis produk ke Bahrain seperti kayu, perabot, elektronik dan minyak sawit, manakala Bahrain mengeksport produk aluminium dan barangan berkaitan minyak ke Malaysia.

"Kedua-dua negara telah muncul sebagai pemain utama dalam sektor perbankan Islam global, memupuk kerjasama erat dan perkongsian kepakaran ," menurut kedutaan itu.

Pelaburan Malaysia telah menyumbang kepada pembangunan infrastruktur Bahrain, dengan syarikat Malaysia memainkan peranan penting dalam projek utama seperti Litar Antarabangsa Bahrain, pusat membeli-belah Pusat Bandar Bahrain, dan peluasan Tambak Sitra dan Pelabuhan Khalifa.

Mengenai pertukaran budaya dan rakyat dengan rakyat, kedutaan menyatakan bahawa Malaysia telah menjadi destinasi pelancongan popular bagi rakyat Bahrain, yang telah terpikat dengan warisan budaya negara yang kaya dan layanan mesra.

"Begitu juga, pelajar Bahrain yang melanjutkan pelajaran mereka di Malaysia telah melahirkan penghargaan yang mendalam terhadap budaya dan tradisi Malaysia sambil menyumbang kepada landskap akademik kedua-dua negara," katanya.