- Iklan -
Berita

Polis buka kertas siasatan kerana 'fatwa' dikeluarkan Muhyiddin

Polis akan mengambil keterangan pengerusi Perikatan Nasional itu dalam masa terdekat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin. Gambar: Facebook
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin. Gambar: Facebook

Polis membuka kertas siasatan terhadap Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Sabtu ini.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata siasatan terhadap pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilakukan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Beliau berkata polis menerima satu laporan mengenai kenyataan Muhyiddin itu yang dibuat di sebuah balai polis di Kuala Lumpur dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. 

“Tindakan selanjutnya polis akan mengambil keterangan beliau (Muhyiddin) dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sabtu lepas, Ahli Parlimen Pagoh itu semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa "haram memberikan undi kepada Suhaizan."

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 5 Sept dan hari mengundi pada 9 September ini.