- Iklan -
Berita

Dr Mahathir tak kisah dipenjarakan kerana pejuang nasib Melayu

Ini berlaku selepas bekas perdana menteri itu disoal siasat polis berhubung inisiatif 'Proklamasi Melayu'.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad secara sinis berkata tidak kisah jika dipenjarakan kerana bercakap soal nasib dan masa depan orang-orang Melayu. 

Katanya, beliau sedar ucapannya mengenai kaum dan agama dipantau pihak berkuasa.

"Mereka (polis) boleh caj saya dalam mahkamah kemudian saya boleh jelaskan, tapi mereka kata ada undang-undang yang mana mereka boleh tangkap saya tanpa perlu pergi mahkamah.

"Saya ini dah 98 tahun. Kalau masuk jel tu teruklah sikit," katanya dalam program ceramah Perikatan Nasional (PN) di Simpang Jeram, Johor malam tadi yang turut dihadiri Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Mahathir sebelum ini dipanggil untuk memberi keterangan atas penglibatan dalam program Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu baru-baru ini.

Beliau yang mula berkempen untuk PN semasa enam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu menyeru orang Melayu untuk keluar mengundi demi masa depan mereka.

"Saya sedih bila orang Melayu tak keluar mengundi seolah-olah mereka tak sayang negara.

"Saya harap kita keluar mengundi bukan kerana parti, tetapi kerana sayangkan bangsa dan negara," katanya.

Mahathir sebelum ini mempertikaikan nasib orang Melayu di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang banyak memberi amaran agar semua pihak tidak mempermainkan isu 3R- agama, bangsa dan raja. 

Pilihan Raya Kecil Simpang Jeram dan Pulai akan diadakan pada Sabtu ini yang mana calon PN Zulkifli Jaafar akan berentap dengan Suhaizan Kaiat daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon bebas Samsudin Mohd Fauzi di Pulai. 

Di Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya daripada PN bertanding melawan calon PH, Nazri Abdul Rahman dan calon bebas S Jeganathan.