- Iklan -
Berita

Kerajaan rangka peraturan benarkan konsert di kampus

Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin sebelum ini dilaporkan berkata bahawa garis panduan itu masih belum diberikan kelulusan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pelajar Universiti Putra Malaysia menelaah pelajaran di perpustakaan universiti.
Pelajar Universiti Putra Malaysia menelaah pelajaran di perpustakaan universiti.

Para pelajar yang ingin menganjurkan konsert di kampus-kampus universiti mungkin perlu berdepan beberapa lapis kelulusan, menurut garis panduan Jabatan Pengajian Tinggi yang dijangka dikeluarkan. 

Menurut dokumen garis panduan, ia terpakai untuk semua universiti awam dan swasta bagi menjaga nama baik Kementerian Pendidikan Tinggi. 

Antara perkara yang disentuh termasuklah larangan menyediakan kawasan “mosh pit”, iaitu satu kawasan yang disediakan untuk penonton berdiri.

Selain itu, penganjur konsert perlu mengasingkan tempat duduk untuk penonton lelaki, wanita, dan yang berkeluarga. 

"Setiap penganjuran aktiviti dan program berbentuk konsert perlu mendapat kelulusan penganjuran aktiviti daripada jawatankuasa peringkat Majlis Perwakilan Pelajar atau Kesatuan Mahasiswa terlebih dahulu. 

"Kemudian, perlu melalui penilaian risiko oleh pihak pengurusan universiti.

"Pihak universiti perlu mengemukakan pemakluman rasmi kepada pihak JPT sebagai rekod," menurut garis panduan itu.

Ia hadir selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin kerajaan dikritik ekoran pembabitan beberapa pelajar tahfiz dalam satu konsert anjuran satu jenama restoran makanan segera.

Penonton yang hadir turut dilihat mengadakan “mosh” di hadapan perdana menteri.

Garis panduan itu antara lain menuntut tanggungjawab penganjur konsert memastikan tarian yang dilakukan “tidak memberahikan”, genre muzik bersesuaian dan lirik lagu tidak menyentuh sensitiviti masyarakat. 

"Penganjur perlu mendapat nasihat dari pejabat korporat universiti dalam menyediakan bahan edaran sama ada berbentuk poster, bunting, brosur atau sebarang risalah untuk tujuan promosi dan publisiti."

Garis panduan itu turut menyatakan pihak universiti berhak membuat rakaman konsert untuk tujuan sebagai rekod. 

Bagaimanapun Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin dilaporkan berkata, garis panduan itu belum diluluskan pihaknya. 

Sebelum ini, kerajaan berdepan kontroversi apabila konsert Good Vibes Festival yang menampilkan kumpulan rock British The 1975.

Konsert itu dicemari aksi jelik penyanyi kumpulan, Matt Healy yang bercium dengan pemain gitar yang sama jantina dengannya, sebagai tanda memprotes undang-undang Malaysia yang dikatakan tidak mesra dengan golongan LGBT.