- Iklan -
Berita

Najib terima RM2.28 bilion hasil 1MDB sejak 2011, penganalisis BNM beritahu mahkamah

Adam Ariff Mohd Roslan berkata dana yang diterima bekas perdana menteri dalam dua akaun peribadinya boleh dikesan dan diasingkan kepada empat fasa.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, 18 Ogos. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, 18 Ogos. Gambar: Bernama

Seorang penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Najib Razak menerima RM2.3 bilion hasil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam empat fasa dari 2011 hingga 2014 melalui dua akaun peribadinya di AmIslamic Bank Berhad.

Adam Ariff Mohd Roslan, 34, berkata menurut analisisnya, jejak wang dana tersebut yang diterima oleh dua akaun bank peribadi (berakhir dengan nombor 694 dan 880) boleh dikesan dan dibahagikan kepada empat fasa iaitu fasa Good Star, fasa Aabar-BVI, fasa Tanore dan fasa beli balik opsyen antara 2011 dan 2014.

“Bagi fasa Good Star antara 23 Februari 2011 dan 14 Jun 2011, sejumlah RM60,629,839.43 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun 694 AmPrivate Banking - MR Najib di AmIslamic Bank, daripada akaun di Riyad Bank, Arab Saudi, boleh dikesan kepada terbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 1MDB pada 2009 dan pinjaman bertempoh bersindiketnya pada 2010.

“Untuk fasa Aabar-BVI antara 30 Oktober 2012 dan 20 November 2012, sebanyak RM90,899,927.28 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun 694 Najib, daripada akaun di Standard Chartered Bank, Singapura, atas nama Blackstone Asia Real Estate Partners, didapati boleh dikesan kepada bon yang diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd pada 2012,” kata penganalisis itu, yang dipinjamkan ke pasukan petugas 1MDB Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018.

Saksi pendakwaan ke-47 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan  kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu. 

Saksi itu berkata bagi fasa Tanore antara 21 Mac 2013 dan 10 April 2013, sejumlah RM2,081,476,926.00 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun 694 Najib, daripada akaun di Falcon Private Bank, Singapura, yang atas nama Tanore Finance Corp, didapati boleh dikesan kepada bon yang diterbitkan oleh 1MDB Global Investment Ltd pada 2013.

Selain itu, Adam Ariff turut menjelaskan bahawa bagi fasa beli balik opsyen pada 23 Jun 2014, sejumlah RM4,093,500.00 daripada hasil dikreditkan ke dalam akaun 880 AmPrivate Banking - 1MY Najib di AmIslamic Bank, daripada akaun di DBS Bank, Singapura, atas nama Blackrock Commodities (Global) Ltd, boleh dikesan kepada hasil pinjaman AS$250 juta 1MDB Energy Holdings Ltd pada 2014.

“Semasa fasa beli balik opsyen antara 23 Oktober 2014 dan 19 Disember 2014, sejumlah RM45,837,485.70 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun 880 Najib daripada akaun di Bank Amicorp, Barbados, atas nama Vista Equity International Partners Limited, didapati sebahagiannya boleh dikesan kepada hasil pinjaman AS$975 juta 1MDB Energy Holdings Ltd pada 2014,” katanya.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.