- Iklan -
Berita

Pengerusi Suhakam letak jawatan, tiada alasan diberikan

Peletakan jawatan dilakukan selepas desakan berbulan-bulan daripada satu kumpulan dalam badan hak asasi itu yang mahu beliau diganti.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad. Gambar: Bernama
Pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad. Gambar: Bernama

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Rahmat Mohamad akan meletakkan jawatan pada 31 Ogos, dua tahun sebelum tempoh perkhidmatannya tamat pada 2025. 

Jabatan Perdana Menteri yang mengumumkan peletakan jawatannya bagaimanapun tidak memberi sebarang alasan mengenai keputusan mengejut itu.

Kenyataan ringkas daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-undang jabatan itu berkata Rahmat akan terus mengetuai Lembaga Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, sambil menambah jawatan itu sesuai dengan latar belakangnya dalam undang-undang antarabangsa.

Peletakan jawatan Rahmat susulan laporan pertelingkahan dalaman dalam badan hak asasi manusia tersebut, di tengah-tengah kempen bagi menggulingkannya oleh puak yang menentang pelantikannya ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sebelum ini. 

Tindakan itu juga dibuat selepas kritikan oleh seorang pemimpin DAP bahawa Suhakam "lebih pendiam" berbanding dahulu.

“Dulu, kami selalu lihat pesuruhjaya turun padang dan mengadakan pelbagai aktiviti, seperti menjadi pemantau dalam perhimpunan Bersih, mengadakan pendengaran terbuka terhadap mangsa yang mengadu tentang penyalahgunaan kuasa pegawai penguat kuasa dan sebagainya.

“Tetapi pada hari ini, kami jarang baca kenyataan dan aktiviti Suhakam, dan kebanyakan kita tidak mengenali pesuruhjaya Suhakam,” kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di Dewan Rakyat.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan, sebuah petisyen ditandatangani 20 nama dihantar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said bulan lepas dalam usaha untuk menyingkirkan Rahmat.

"Ini jelas kempen untuk menggulingkan Rahmat, dan ia semakin rancak selepas pertukaran kerajaan," kata sumber yang mengetahui tentang isu itu kepada MalaysiaNow. 

Pengkritiknya sering menyebut peranannya dalam menentang ratifikasi Statut Rom oleh Malaysia, sebuah perjanjian yang menubuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang berpangkalan di Belanda.

Pada 2019, Putrajaya yang ketika itu di bawah kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad, terpaksa menarik balik ratifikasi perjanjian ditandatangani Malaysia berikutan bantahan daripada Raja-raja Melayu, yang menyuarakan kebimbangan terhadap bidang kuasa ICC terhadap kedaulatan negara termasuk peruntukan Perlembagaan mengenai hak istimewa orang Melayu dan Raja-raja Melayu.

Rahmat terlibat dalam merangka kertas kerja untuk menasihati Raja-raja Melayu mengenai kesan buruk sekiranya Malaysia menyertai Statut Rom.

Perjanjian tersebut sehingga kini tidak disertai beberapa negara utama seperti China, India, Indonesia, Arab Saudi dan Turkiye, manakala negara lain seperti Amerika Syarikat, Mesir, Iran dan Rusia menandatanganinya tanpa meratifikasinya.