- Iklan -
Berita

Awesome TV digugurkan daripada acara perarakan Hari Kebangsaan

Syarikat penyiaran itu sebelum ini pernah dipanggil SKMM mengenai pelanggaran berhubung penerbitan bahan berita yang dilihat tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pelajar sekolah sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor berlatih membuat persembahan pada sesi raptai sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putra hari ini, 24 Ogos. Gambar: Bernama
Pelajar sekolah sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor berlatih membuat persembahan pada sesi raptai sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putra hari ini, 24 Ogos. Gambar: Bernama

Saluran televisyen tempatan, Awesome TV hari ini memaklumkan bahawa pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menggugurkan syarikat penyiaran itu daripada acara perarakan sempena Hari Kebangsaan 2023 tanpa sebarang alasan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata keputusan mengejut itu dimaklumkan menerusi surat bertarikh 23 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Muhammad Fauzi Md Isa.

“Menurut surat tersebut, pengguguran berkenaan selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan 2023 bilangan 4/2023 yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sendiri pada 21 Ogos 2023,” katanya.

Pada Februari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memanggil pihak pengurusan Awesome TV bagi mendapatkan penjelasan mengenai laporan berita yang mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan.

Fahmi berkata beliau difahamkan Awesome TV melakukan enam pelanggaran berhubung menerbitkan bahan berita yang dilihat tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Awesome TV ini melakukan pelanggaran sebanyak enam kali, termasuk semasa (pentadbiran kerajaan) sebelum ini sebanyak lima kali,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 20 Februari lalu.

Dalam pada itu pihak pengurusan Awesome TV berkata keputusan ini jelas bertentangan dengan matlamat kerajaan Madani yang berusaha keras mempromosikan semangat perpaduan serta keharmonian di kalangan rakyat Malaysia.

“Ia juga terang-terang berlawanan dengan janji kerajaan Madani untuk memperkasakan peranan media dalam pembangunan dan kesejahteraan negara,” katanya.