- Iklan -
Berita

Anwar umum peruntukan RM30 juta naik taraf laluan Gerik-Jeli

Perdana menteri berkata peruntukan tambahan itu adalah untuk kos penyelenggaraan ‘one-off’ laluan itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat yang menghubungkan Gerik-Jeli.

Beliau berkata peruntukan itu adalah tambahan peruntukan penyelenggaraan jalan tersebut yang dianggarkan kosnya sebanyak RM80 juta sehingga RM100 juta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata terdapat banyak permohonan peruntukan bagi penyelenggaraan jalan di seluruh negara dan beliau akan mengkajinya dalam Belanjawan Madani kedua yang akan dibentangkan pada Oktober.

“Tapi hari ini saya boleh lulus tambahan RM30 juta untuk perbaiki jalan,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan Kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Gerik hari ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad. 

Sebelum ini, Nanta mengumumkan RM30 juta peruntukan awal daripada KKR bagi menaik taraf dan menyelenggara laluan tersebut. 

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh Malaysia berjumlah RM370 juta pada tahun ini. 

Beliau berkata RM300 juta adalah bagi penyelenggaraan jalan persekutuan yang tiada dalam syarat kontrak syarikat konsesi. 

“RM20 juta peruntukan khas untuk jurutera daerah dan RM50 juta (bagi) pemasangan dan penyelenggaraan lampu di kawasan risiko tinggi kemalangan,” katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan turut meluluskan RM250 juta bagi peruntukan kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan kontraktor kecil bumiputera.

Sementara itu, Perdana Menteri turut meluluskan sagu hati RM1,000 kepada 87 keluarga pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terlibat dengan pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) (FT004) sebagai simbolik menghargai jasa bakti yang telah dicurahkan.

Anwar turut menyampaikan cenderamata kenangan kepada 37 orang bekas pekerja dan waris keluarga yang terlibat dengan pembinaan JRTB (FT004) itu. 

Pada 21 Mei 1974, serangan pengganas komunis telah merosakkan puluhan unit jentera berat dan pada 27 Ogos 1974, seramai tiga orang petugas JKR telah terbunuh semasa bekerja untuk membina laluan ini. 

Pada sidang media kemudiannya, Nanta berkata kerja membaiki laluan itu akan dilaksanakan secepat mungkin dengan dikendalikan syarikat konsesi.

“Dengan peruntukan tambahan ini kita boleh membelanjakan bagi kerja-kerja lebih berat dan bukan sekadar menampal jalan sahaja kerana jalan ini sudah lama.

“Laluan itu juga boleh dibina semula, mungkin mana-mana kerja yang diperlukan nanti terpulang kepada pihak teknikal apa pembaikan yang perlu dibuat menggunakan peruntukan ini,” katanya.

Ditanya sama ada peruntukan itu turut digunakan bagi tambahan lampu jalan berikutan kawasan yang terlalu gelap, beliau berkata segala keperluan akan diteliti terlebih dahulu.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.