- Iklan -
Berita

Mahathir pertahan tindakan pecat Apandi selepas keterangan mahkamah Zeti

Bekas perdana menteri berkata kegagalan Apandi bertindak ke atas laporan Bank Negara membuktikan beliau tidak menjalankan tugasnya sebagai peguam negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali.

Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan tindakan memecat Mohamed Apandi Ali sebagai peguam negara, meskipun tuntutan saman dikemukakan terhadapnya selepas itu, mengatakan keterangan mahkamah oleh bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini tentang laporannya salah laku pegawai tertinggi 1MDB diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) membuktikan “pengabaian tugas” di pihak Apandi. 

Bekas perdana menteri itu berkata Apandi, yang kontraknya ditamatkan sewaktu Mahathir dilantik kali kedua sebagai perdana menteri, memfailkan saman kerana dipecat secara salah walaupun beliau bersedia untuk memberi penjelasan mengenai keputusannya kepada mahkamah. 

Dalam satu kenyataan, Mahathir menyebut ini adalah contoh bagaimana Apandi membersihkan nama bekas perdana menteri Najib Razak daripada salah laku berhubung skandal 1MDB. 

"Namun apabila seorang lagi peguam negara membawa kes Najib ke mahkamah, tiga mahkamah dan sembilan hakim mendapati Najib bersalah," katanya. 

“Jelas sekali Apandi sebagai peguam negara tidak meneliti kes itu secara menyeluruh sebelum mengisytiharkan Najib tiada kes untuk dijawab. 

"Ini sekali lagi menunjukkan pengabaian tugas di pihak Apandi."

Zeti memaklumkan mahkamah BNM audah mengesyorkan tiga pegawai tertinggi 1MDB didakwa berhubung skandal yang menyelubungi syarikat itu. 

Beliau berkata permintaannya (untuk mendakwa mereka) dibuat kepada peguam negara (Apandi) namun tiada tindakan diambil terhadap ketiga-tiga individu.

Bulan lepas, Zeti memberi keterangan bahawa kertas siasatan (IP) yang dikemukakan oleh BNM kepada Jabatan Peguam Negara dengan syor agar pendakwaan jenayah dimulakan dan beberapa pegawai kanan 1MDB didakwa diklasifikasikan sebagai NFA. 

Zeti berkata meskipun semua bukti kukuh dikumpul dan direkodkan oleh BNM dalam IP berkaitan kes 1MDB, Apandi, atas sebab-sebab yang tidak diketahui pada 11 September 2015, memutuskan bahawa IP yang dikemukakan oleh bank pusat itu diklasifikasikan sebagai NFA.

Mahathir berkata beliau terkejut membaca laporan bahawa Apandi tidak mengambil tindakan. 

"Ia seolah-olah bagi saya seperti mengabaikan tugas," tambahnya. 

Apandi memfailkan saman terhadap Mahathir dan kerajaan pada 13 Oktober 2020, antara lain memohon pengisytiharan penamatan kontraknya sebagai peguam negara oleh bekas perdana menteri itu adalah tidak sah. 

Dalam pernyataan tuntutannya, Apandi, yang merupakan hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai peguam negara pada 2015, turut memohon pengisytiharan bahawa Mahathir menyalahgunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika Pakatan Harapan berkuasa dari Mei 2018 hingga Februari 2020, dan menyebabkan pelanggaran kontrak antara beliau dan kerajaan.

Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa terdapat kegagalan untuk mematuhi Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya dan bahawa pemecatannya sebagai peguam negara adalah menyalahi undang-undang, dan oleh itu tidak sah. 

Saman itu diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada April tahun lalu, walaupun peguam Apandi berkata syarat penyelesaian itu tidak boleh didedahkan.

Sementara itu, Menteri Undang-undang Azalina Othman Said pada Februari berkata bahawa terma penyelesaian diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Beliau juga memaklumkan kes sivil itu diselesaikan di luar mahkamah atas persetujuan kerajaan tanpa sebarang pengakuan liabiliti.

Bagaimanapun, Mahathir berkata persetujuan kerajaan untuk menyelesaikannya bermakna ia bersetuju bahawa Apandi dipecat secara salah.

"Saya tidak dilibatkan dalam penyelesaian itu," tambahnya.

“Saya tidak bersetuju bahawa saya memecat Apandi secara tidak sah. 

"Tetapi kini, laporan bahawa dia gagal mengambil tindakan terhadap laporan oleh Bank Negara membuktikan bahawa dia tidak menjalankan tugasnya sebagai peguam negara. Ini mewajarkan lagi pemecatannya sebagai peguam negara. 

"Bahawa seorang peguam negara harus diberi pampasan dengan jumlah wang yang tidak diketahui tidak mencerminkan dengan baik kedaulatan undang-undang di negara ini."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.