- Iklan -
Berita

Amirudin angkat sumpah MB Selangor bagi penggal kedua

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di Klang kira-kira jam 11.23 pagi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Amirudin Shari menerima surat cara pelantikan menteri besar daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di Klang kira-kira jam 11.23 pagi tadi. Gambar: Pejabat Menteri Besar Selangor
Amirudin Shari menerima surat cara pelantikan menteri besar daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di Klang kira-kira jam 11.23 pagi tadi. Gambar: Pejabat Menteri Besar Selangor

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Amirudin Shari hari ini secara rasmi dilantik sebagai menteri besar negeri ini bagi penggal kedua. 

Amirudin, 43, mengangkat sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di Klang kira-kira jam 11.23 pagi.

Turut berangkat pada istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat cara pelantikan Menteri Besar Selangor itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Amirudin yang pernah diumum oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai calon menteri besar jika gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya, dilantik ke jawatan itu selepas PH-BN memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 12 Ogos lalu.  

Pada PRN lepas, Amirudin berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua selama empat penggal berturut-turut sejak mula bertanding di kawasan itu pada 2008.

Beliau menang dengan majoriti 5,185 undi dengan memperoleh 19,678 undi menewaskan calon PN Muhammad Hanif Jamaluddin yang mendapat 14,493 undi dan calon Bebas Suman Gopal (430 undi). 

Naib Presiden PKR itu mengangkat sumpah pertama kali sebagai Menteri Besar Selangor pada 19 Jun 2018.

Dilahirkan pada 8 Februari 1980 di Pontian, Johor, Amirudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia.