- Iklan -
Berita

Penumpang MH122 cetus ancaman bom didakwa hari ini, kata polis Australia

Lelaki itu didakwa membuat kenyataan palsu mengenai ancaman untuk merosakkan pesawat dan tidak mematuhi arahan keselamatan kru kabin.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah pesawat Malaysia Airlines berada di atas lapangan di KLIA.
Sebuah pesawat Malaysia Airlines berada di atas lapangan di KLIA.

Polis Australia hari ini akan mendakwa seorang penumpang selepas dia didakwa mempunyai bahan letupan di dalam pesawat Malaysia Airlines dari Sydney ke Kuala Lumpur.

Kejadian itu menyebabkan pesawat tersebut terpaksa berpatah balik ke Sydney.

Penumpang tersebut, 45, didakwa membuat kenyataan palsu mengenai ancaman untuk merosakkan pesawat dan tidak mematuhi arahan keselamatan kru kabin, kata Polis Persekutuan Australia dalam satu kenyataan. 

Kesalahan itu membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda lebih A$15,000 (RM44,980).

Menurut polis, pesawat MH122 berlepas dari Sydney pada petang Isnin ke Malaysia dan berpatah balik ke Sydney kira-kira tiga jam kemudian selepas penumpang itu “didakwa mencetuskan gangguan" sewaktu penerbangan.

Penumpang dan anak kapal telah dipindahkan dari pesawat sebaik sahaja ia dianggap selamat dan lelaki itu ditahan tanpa sebarang insiden. 

Dia dijangka hadir di mahkamah pada Selasa. 

Polis tidak menyatakan kewarganegaraan penumpang tersebut walaupun mereka mengatakan dia adalah penduduk Canberra. 

Tiga puluh dua penerbangan domestik telah dibatalkan dan penerbangan domestik lain tertunda sehingga 90 minit akibat kejadian itu, menurut Lapangan Terbang Sydney. 

Bagaimanapun, tiada pembatalan penerbangan antarabangsa.