- Iklan -
Berita

Kelantan dapat MB, timbalan baru

Mohd Nassuruddin Daud dan Mohamed Fadzli Hassan masing-masing dilantik sebagai menteri besar Kelantan dan timbalan menteri besar.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud (kiri) dan Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud (kiri) dan Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan. Gambar: Bernama

Teka-teki mengenai siapakah menteri besar dan timbalan menteri besar Kelantan yang baru terjawab sudah selepas kedua-dua yang dilantik mengangkat sumpah jawatan itu hari ini. 

Dalam majlis yang berlangsung di hadapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian, di Kota Bharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meranti Mohd Nassuruddin Daud mengangkat sumpah sebagai menteri besar petang ini. 

Sementara itu, Adun Temangan Mohamed Fadzli Hassan pula mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri besar Kelantan.

Pelantikan Nassuruddin menyaksikan beliau secara rasmi menggantikan Pesuruhjaya PAS Kelantan Ahmad Yakob yang memegang jawatan menteri besar sejak 6 Mei 2013.

Sebelum dilantik sebagai menteri besar Kelantan  Nassuruddin adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri sejak 2013. 

Nassuruddin merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti selama tujuh penggal selepas memenanginya dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan (PRU9) pada 1995. 

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lepas, Nassuruddin yang juga Ketua Penerangan PAS Kelantan berjaya mempertahankan DUN Meranti dalam pertandingan satu lawan satu setelah mengalahkan Zahri Omar dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 9,154 undi.

Nassuruddin, yang merupakan lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir mendirikan rumah tangga dengan Wan Norhanita Wan Yaakob dan dikurniakan lima cahaya mata.

PAS dan rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu berjaya membentuk kerajaan negeri di Kelantan apabila menang 43 daripada 45 kerusi DUN dalam PRN Sabtu lepas.

Sementara itu, Mohamed Fadzli sebelum ini memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri dan mula berkhidmat sebagai Adun Temangan sejak menang pada PRU12.

Dilahirkan di Machang, Fadzli adalah bekas Penolong Profesor Fakulti Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah, Pusat Undang-undang Harun Mahmud Hashim di universiti sama.

Selain Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar, seramai sembilan Adun turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kelantan pada istiadat hari ini terdiri daripada lapan Adun PAS dan seorang Bersatu. 

Sembilan Adun berkenaan adalah Md Anizam Ab Rahman (Kemahang), Izani Husin (Kijang), Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Selising), Wan Roslan Wan Hamat (Pengkalan Kubor), Rohani Ibrahim (Tanjong Mas), Mohd Asri Mat Daud (Demit), Zamakhshari Muhamad (Apam Putra), Hilmi Abdullah (Guchil) dan Kamarudin Md Nor (Air Lanas).