- Iklan -
Berita

Jumlah jawatan meningkat 2.4% pada suku tahun kedua 2023

Sebanyak 8.83 juta direkodkan berbanding 8.62 juta pada suku kedua 2022.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengunjung singgah ke gerai maklumat di pameran kerja yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada Oktober 2022.
Pengunjung singgah ke gerai maklumat di pameran kerja yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada Oktober 2022.

Jumlah jawatan meningkat sebanyak 2.4% kepada 8.83 juta pada suku tahun kedua 2023 daripada 8.62 juta pada suku tahun kedua 2022, demikian menurut laporan Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Kedua 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata berikutan itu, trend peningkatan dalam bilangan jawatan diisi dapat dilihat meningkat sebanyak 2.5% merekodkan 8.64 juta jawatan pada suku tahun kedua 2023 berbanding 8.42 juta jawatan pada suku tahun kedua 2022.

Beliau berkata walau bagaimanapun, bilangan kekosongan jawatan mengalami pertumbuhan negatif dan menurun sebanyak 0.9 peratus merekodkan 189,600 kekosongan berbanding 191,300 kekosongan pada suku tahun kedua 2022.

“Dalam tempoh ini, kadar jawatan diisi dan kekosongan jawatan masing-masing merekodkan 97.9 peratus dan 2.1 peratus, mencerminkan pasaran buruh yang seimbang dan berdaya saing,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, melihat kepada senario jawatan diisi pada suku tahun kedua 2023, sektor perlombongan dan pengkuarian menjadi penyumbang utama dengan kadar pertumbuhan tertinggi sebanyak 3.6%, diikuti pembuatan dengan 3.1% dan pertanian 3%. 

Dari segi pecahan jawatan mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar bagi jawatan diisi dengan 4.55 juta jawatan atau 52.7% daripada jumlah jawatan diisi manakala sektor pembuatan dengan 2.32 juta jawatan diisi (26.9 peratus) dan sektor pembinaan dengan 1.24 juta jawatan diisi (14.3%).

Mohd Uzir berkata bilangan kekosongan jawatan dalam sektor ekonomi pada suku tahun kedua 2023 menurun sebanyak 1,700 kepada 189,600 daripada 191,300 pada suku tahun kedua 2022.

“Lebih daripada separuh kekosongan jawatan adalah dalam sektor pembuatan dengan 108,000 kekosongan, manakala sektor pertanian berada di kedudukan kedua dengan 30,700 kekosongan,” katanya.

Mengenai pewujudan jawatan pada suku tahun kedua 2023, Mohd Uzir berkata terdapat sejumlah 31,900 jawatan baharu bagi memenuhi permintaan yang meningkat berikutan pemulihan ekonomi dengan 16,500 jawatan adalah daripada sektor perkhidmatan.

“Keseluruhan permintaan buruh dalam sektor ekonomi pada suku tahun kedua 2023 terus menunjukkan trend positif walaupun menghadapi risiko kemelesetan global, yang menjurus kepada pertambahan peluang pekerjaan dan mengukuhkan pasaran buruh di Malaysia,” katanya.

Jawatan merujuk kepada jumlah buruh yang merangkumi jawatan diisi dan kekosongan manakala jawatan diisi merujuk kepada pekerja bergaji sepenuh masa dan sambilan tidak termasuk pemilik perseorangan dan rakan niaga.

Kekosongan merujuk kepada jawatan yang wujud dan tersedia untuk diisi tetapi belum diisi manakala pewujudan jawatan adalah jawatan yang diwujudkan dalam sesebuah organisasi dengan jawatan tersebut belum pernah tersedia sebelum ini.