- Iklan -
Berita

Kuasa lebih penting dari jawatan TPM, kata pemimpin Sarawak

Setiausaha agung GPS berkata perkara itu tidak dibincangkan kerana mahu menumpukan perhatian untuk memenangi pilihan raya.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak Alexander Nanta Linggi berkata pengagihan kuasa kepada kerajaan negeri adalah lebih penting daripada tawaran jawatan timbalan perdana menteri kepada Sabah dan Sarawak. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak Alexander Nanta Linggi berkata pengagihan kuasa kepada kerajaan negeri adalah lebih penting daripada tawaran jawatan timbalan perdana menteri kepada Sabah dan Sarawak. Gambar: Bernama

Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini menegaskan peruntukan dan pengagihan kuasa kepada kerajaan negeri adalah lebih penting berbanding tawaran jawatan timbalan perdana menteri (TPM) di peringkat persekutuan, berikutan perdebatan yang tercetus mengenai peruntukan jawatan itu kepada wakil dari dua negeri Borneo itu.

Setiausaha Agung GPS, Alexander Nanta Linggi berkata, jawatan TPM yang ditawarkan kepada Sabah dan Sarawak mungkin tidak memberi begitu banyak perbezaan kerana usaha membangunkan kedua-dua negeri lebih memerlukan peruntukan dan kelulusan bagi projek pembangunan daripada pentadbiran persekutuan.

"Yang penting bukan jawatan, yang penting kuasa," katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

"Jika ada kementerian-kementerian tertentu seperti mana yang ada sekarang disertakan peruntukan, projek pembangunan diluluskan, mungkin itu yang lebih penting."

Kenyataan Alexander itu merujuk cadangan  Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi yang mahu tiga jawatan TPM diwujudkan untuk mewakili Semenanjung, Sabah dan Sarawak, sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Tidak salah kalau ada jawatan tiga TPM..tidak salah. Dalam perlembagaan tidak ada disebut jawatan TPM, tengoklah mungkin ada TPM dari Sabah,” kata Zahid ketika berucap dalam sebuah acara di Kimanis, Sabah Ahad lalu.

Cadangan tersebut turut senada dengan apa disuarakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim yang dikatakan telah diutarakan sejak era Pakatan Rakyat.

Ketika ditanya adakah kuasa jawatan TPM itu perlu disenaraikan dalam manifesto pilihan raya, Alexander berkata, ia terpulang kepada parti yang bertanding.

"Sekiranya ada jawatan itu nanti, mestilah akan ada portfolio tertentu yang boleh beri keberkesanan pada jawatan itu demi kebaikan Sarawak dan Sabah," tambah beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata, tumpuan utama pada masa ini ialah memenangi PRU15.

"Kalau tiba masanya tawaran ini betul-betul nak direalisasikan, kita sambut baik cadangan itu," katanya. 

"Tetapi buat masa ini, biarlah kami menang dulu,” katanya.

GPS lantang dalam mendesak kerajaan persekutuan mengagihkan lebih banyak kuasa kepada kerajaan Sarawak, di mana ia berjaya dalam tuntutan royalti minyak selain melaksanakan beberapa langkah lain untuk menunjukkan negeri itu sebagai rakan kongsi setara di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Pada April tahun lalu, Muhyiddin Yassin yang merupakan perdana menteri ketika itu turut merujuk Sarawak sebagai “wilayah”.

“Saya tak boleh kata ia adalah negeri kerana ia besar walaupun populasinya tak besar,” katanya ketika melawat Sarawak.

Sementara itu, awal tahun ini, Sarawak menukar gelaran “ketua menteri” kepada “premier”, yang dipinda menerusi Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022.

Dua bulan selepas Muhyiddin mengangkat sumpah selepas kejatuhan pentadbiran PH, firma petroleum negara Petronas bersetuju untuk menyelesaikan cukai jualan sebanyak RM2 bilion kepada Sarawak.