- Iklan -
Berita

Hentikan menuding jari, prestasi PH-BN dalam PRN baik, kata Azalina

Ketua Penerangan Umno itu menyatakan perbezaan 0.25% undi popular antara PH-BN dan PN.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said (kiri) bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (tengah). Gambar: Bernama
Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said (kiri) bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (tengah). Gambar: Bernama

Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said menggesa supaya menghentikan sikap "menuding jari" serta mendesak presiden meletakkan jawatan berikutan kekalahan teruk parti itu sekali lagi pada pilihan raya di enam negeri hujung minggu lalu.

Azalina, penyokong tegar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan pilihan raya, yang menyaksikan status quo di mana Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kerajaan negeri masing-masing di enam negeri, sebenarnya memihak kepada gabungan di peringkat persekutuan yang terdiri daripada PH dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata ini kerana PN “ketinggalan 17,000 undi” berbanding PH-BN dari segi kira-kira 6.8 juta jumlah undi popular untuk kedua-dua parti. 

Perbezaan undi popular yang diterima oleh PH-BN dan PN adalah kira-kira 0.25%.

“Tempoh singkat 8 bulan sejak pembentukan gabungan perpaduan BN-PH selepas berpuluh tahun di arena pilihan raya sebagai seteru politik adalah ujian pertama kesefahaman gabungan ini namun ia berjaya dilalui dengan baik,” kata menteri undang-undang itu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hujung minggu lalu, Umno ditendang keluar di Kedah dan Terengganu, manakala hanya memenangi dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor dan satu kerusi di Kelantan. 

Parti itu hanya bersinar di Negeri Sembilan, memenangi 14 kerusi. 

Secara keseluruhan, Umno hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya, walaupun diberi laluan oleh PH untuk bertanding di kerusi campuran dan separa bandar.

Umno juga hanya memenangi dua kerusi di Selangor, walaupun menjangkakan parti itu boleh menyerahkan kerusi Melayu kepada kerajaan negeri pimpinan PH.

Terdahulu, Bendahari Umno Selangor Tengku Zafrul Aziz, menggesa kepimpinan mendapatkan semula keyakinan rakyat dan bukannya mengejar "kuasa jangka masa pendek".

"PRN Selangor menyerlahkan seolah-olah semakin ramai pengundi Melayu di sesebuah kawasan, semakin susah Umno hendak menang," kata Zafrul.

"Jika keputusan PRN ini bukan amaran akhir kepada soal survival parti Melayu ini, saya tidak tahu apa lagi jenis amaran yang perlu diberi sebelum kita menyedari kita sudah ditolak," kata Zafrul. 

Azalina bagaimanapun melahirkan keyakinan kerjasama Umno dengan PH akan bertambah baik untuk pilihan raya akan datang.

Kenyataan beliau dibuat dua hari selepas beliau menyindir pengundi di Kedah, Kelantan dan Terengganu kerana memilih untuk kekal bersama PN.

Mengucapkan selamat maju jaya kepada pengundi, beliau berkata nampaknya tiada apa yang boleh dilakukan untuk meyakinkan mereka supaya menukar kerajaan negeri.

“Nak cakap pasal kerajaan lapan bulan ... lahirkan bayi pun kena sembilan bulan,” katanya dalam klip video pendek yang tular di media sosial.