- Iklan -
Berita

Lembaran baru, adil kepada semua kaum, kata Sanusi selepas dilantik semula sebagai MB

Ahli politik PAS itu juga berkata pentadbirannya akan meneruskan wawasan bercita-cita tinggi ‘Greater Kedah’ yang dilaungkannya sebelum ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bersama isteri Jusmalailani Jusoh, serta ibu bapanya, ketika sidang media selepas mengangkat sumpah di Alor Setar, 14 Ogos.
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bersama isteri Jusmalailani Jusoh, serta ibu bapanya, ketika sidang media selepas mengangkat sumpah di Alor Setar, 14 Ogos.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau akan meneruskan wawasan “Greater Kedah”, satu rancangan bercita-cita tinggi untuk menjadikan negeri itu kuasa ekonomi melangkaui pertanian, mengatakan mandat kuat yang diberikan kepada pasukannya untuk terus mentadbir negeri akan diikuti dengan "lembaran baru". 

Ahli politik popular PAS itu juga berjanji bahawa pentadbirannya akan berlaku adil kepada semua masyarakat di Kedah, walaupun hanya seorang Adun bukan Melayu sebagai sebahagian daripada blok kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya tak ada masalah memberi khidmat kepada bukan Melayu di Kedah. Kita tidak ada diskriminasi, pilih bulu atau pilih kasih,” katanya pada sidang media bersama isteri dan ibu bapanya, selepas menghadiri istiadat angkat sumpah di hadapan Sultan Kedah hari ini.

“Kedah ini bukan semua pengundi Melayu, 26% atau 27% bukan Melayu. Depa undi siapa saya tak tahu lah, tapi kita akan bersikap adil kepada semua orang,” tambahnya.

Gabungan PN negeri di bawah pimpinannya memenangi 33 kerusi di Kedah, hanya kurang tiga kerusi untuk menyapu bersih. 

Ini merupakan mandat pilihan raya pertama Sanusi selepas beliau mengambil alih jawatan menteri besar Kedah berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020. 

Sejak itu, Sanusi telah muncul sebagai salah seorang ahli politik terkemuka negara, dan sering bertelagah dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam beberapa siri isu, termasuk rancangannya untuk melihat kejayaan projek Kedah Aerotropolis bagi mengubah negeri itu menjadi hab logistik serantau. 

Semasa berkempen, Sanusi menjadi sasaran utama pemimpin PH dan Umno, yang menuduhnya menyalahgunakan kuasa dan mencuri sumber negeri. Bagaimanapun tuduhan itu dinafikan beliau. 

Pada kemuncak serangan, beliau didakwa menghasut berhubung ucapan menghina Sultan Selangor terhadap pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar.