- Iklan -
Berita

Polis akan panggil Sanusi selepas pamer kertas undi

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kejadian itu akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau tidak berniat untuk menunjukkan kertas undi bertanda kepada media sebelum meletakkannya di dalam peti undi. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau tidak berniat untuk menunjukkan kertas undi bertanda kepada media sebelum meletakkannya di dalam peti undi. Gambar: Bernama

Polis akan memanggil Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor untuk diambil keterangan susulan didakwa menayangkan kertas undinya kepada petugas media pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lepas.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata Sanusi akan dipanggil dalam tempoh terdekat dan rakaman percakapannya akan diuruskan polis kontinjen Kedah.

Beliau berkata polis akan menyiasat daripada pelbagai aspek selaras dengan laporan yang diterima.

“Berilah kami peluang untuk menyiasat kes ini, bagi menuduh atau tidak itu kami serahkan kepada AGC (Pejabat Peguam Negara).

“Kami juga mempunyai cadangan-cadangan dengan melihat semua keterangan untuk menyiasat kes ini menggunakan seksyen yang bersesuaian,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini. 

Razarudin berkata kes berkenaan antaranya akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di bawah Seksyen 5(1) dan Seksyen 26(1)(g).

Pada 12 Ogos lepas, Muhammad Sanusi mendakwa beliau tidak berniat untuk mempamerkan kertas undinya kepada pihak media ketika mengundi pada PRN.

Sebaliknya, beliau dilapor berkata kertas undi itu terdedah secara tidak sengaja ketika melayani permintaan pihak media untuk mengambil gambarnya.