- Iklan -
Berita

PN akan kuburkan PJD Link, kata Azmin

Bekas menteri besar Selangor itu mempersoalkan keperluan pembinaan lebuh raya dalam bandar.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri besar Selangor, Azmin Ali berucap semasa ceramah politiknya di Ukay Perdana.
Bekas menteri besar Selangor, Azmin Ali berucap semasa ceramah politiknya di Ukay Perdana.

Perikatan Nasional (PN) tidak akan melayan sebarang permintaan untuk mengkaji semula projek Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) yang dibatalkan jika membentuk kerajaan Selangor, walaupun ia melepasi beberapa penilaian impak, kata pengerusi gabungan itu di Selangor, Mohamed Azmin Ali. 

Bekas menteri besar itu berkata adalah tidak masuk akal untuk membina lebuh raya dalam bandar dengan alasan untuk menyelesaikan kesesakan lalu lintas. 

"Prinsip saya ialah mengapa anda memerlukan lebuh raya dalam bandar. Kalau di luar, sebagai jalan lingkaran luar, itu boleh dipertimbangkan. Tetapi dalam Petaling Jaya, dalam Shah Alam, anda tidak memerlukan lebuh raya lain.

“Apa yang diperlukan adalah pengangkutan awam ," katanya dalam “podcast” Keluar Sekejap yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Lebuh raya sepanjang 34 kilometer itu dirancang merentasi kawasan kejiranan di Petaling Jaya dan perbandaran sekitar, yang dijenamakan semula daripada projek kontroversi Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

Kidex dibatalkan oleh Azmin pada Februari 2015, hanya lima bulan selepas beliau dilantik sebagai menteri besar Selangor, berikutan bantahan penduduk. 

Pada 31 Julai, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan PJD Link dibatalkan, menyebut kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan pelan yang dikemukakan berdasarkan Kajian Environmental Impact Assessment (EIA), Kajian Social Impact Assessment (SIA), dan Kajian Traffic Impact Assessment (TIA).

Bagaimanapun, Amirudin kemudiannya memberi bayangan bahawa pelan itu masih boleh dikaji semula jika rakyat dapat diyakinkan, sambil menambah bahawa terdapat syarat yang tidak dipenuhi. 

Kenyataan itu mendapat kritikan daripada pengkritik projek berkenaan, termasuk penduduk dan aktivis yang bertahun-tahun membuat bantahan keras terhadap rancangan tersebut berhubung kebimbangan terhadap kesan alam sekitar dan sosial kepada perbandaran.

"Soalnya sekarang, mengapa mereka mahu mengkaji balik untuk membina PJD Link. 

“Amirudin sedang mengambil pendekatan ‘flip-flop’,” kata Azmin sambil menambah bahawa di bawah PN, tidak timbul persoalan untuk mengkaji semula rancangan itu.

"Tidak perlu TIA, tidak perlu SIA, sebab dalam PJ, kenapa perlu lebuh raya lain?”

"Ia akan pecahkan bandar, ia akan pecahkan komuniti."

Difahamkan, lebih 3,000 rumah akan terjejas akibat projek itu yang turut dimasukkan sebagai sebahagian daripada Rancangan Struktur Selangor 2035. 

Azmin berkata dengan infrastruktur pengangkutan sedia ada termasuk MRT dan LRT, apa yang diperlukan adalah untuk menyelesaikan masalah perhubungan dari satu destinasi ke destinasi lain bagi mengurangkan kenderaan persendirian.

Beliau berkata sebahagian daripada penyelesaiannya ialah meningkatkan operasi bas pengantara Smart Selangor, perkhidmatan percuma di seluruh Selangor yang diperkenalkan sewaktu menjadi menteri besar. 

Beliau berkata dengan beralih kepada lebuh raya sebagai penyelesaian kepada masalah lalu lintas, matlamat untuk mencapai nisbah 60:40 pengangkutan awam kepada kenderaan persendirian tidak akan tercapai.

"Sampai bila pun kita tak akan capai (nisbah 60:40) kalau kita terus membina lebuh raya".