- Iklan -
Berita

‘Gelombang PN’ cabaran Khairuddin untuk kekal sebagai Adun Paya Jaras

Mohd Khairuddin Othman pertama kali memenangi kerusi itu sebagai calon PAS dan kini akan menentang parti lamanya serta calon bebas.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Calon Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman (kiri) bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tengah) dan calon Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim (kanan) pada majlis kempen di Subang Bestari, Shah Alam, 29 Julai. Gambar: Bernama
Calon Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman (kiri) bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tengah) dan calon Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim (kanan) pada majlis kempen di Subang Bestari, Shah Alam, 29 Julai. Gambar: Bernama

Dediy Sulaiman mungkin penduduk Paya Jaras yang paling terkenal di Malaysia.

Sudah menetap lebih 25 tahun di kawasan itu, lelaki itu lebih dikenali menerusi saluran media sosialnya, “DD Chronicle”.

Kini pempengaruh dan penghasil kandungan sepenuh masa, Dediy menceritakan pengalamannya di Paya Jaras dan sentimen penduduk menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini. 

Dediy berkata penduduk Paya Jaras memilih Mohd Khairuddin Othman untuk penggal kedua kerana khidmat bakti beliau sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

"Penduduk Paya Jaras mengundi kerana calon kerana walaupun beliau bertukar parti, orang tetap mengundi beliau," katanya. 

Sebagai rekod, Khairuddin merupakan wakil PAS semasa penggal pertama sebelum menyertai PKR pada penggal kedua ketika parti Islam itu berpecah daripada Pakatan Rakyat.

Ini kerana beliau rajin bertemu dengan penduduk dan menyelesaikan masalah setempat. 

‘Sanggup baring depan jentolak’

Namun sekitar 2018-2019, isu rumah di rizab sungai sedikit sebanyak mencalar rekod beliau.

Puluhan rumah akan dirobohkan kerana dibina di tanah rizab sungai.

"Masa kes ini, dia berjanji akan mempertahankan penduduk kampung. 

“Kalau ada jentolak atau jentera datang, dia akan jadi orang pertama baring bawah jentolak. 

“Tapi pada hari kejadian, langsung tak nampak muka," kata Dediy.

Beliau juga gagal dihubungi oleh kebanyakan penduduk. 

Bermula kejadian itu, menurut Dediy orang kampung sudah mula hilang kepercayaan kepada Khairuddin. 

Alasan yang diberikan, menurut orang kampung, ialah kerana Khairuddin risaukan keselamatan dirinya.

Khairuddin akan bertanding untuk penggal ketiga di Paya Jaras. 

Beliau berdepan dengan dua lagi calon, iaitu Ab Halim Tamuri daripada Perikatan Nasional (PN) dan Nurhaslinda Basri (bebas).

Beliau yang juga exco generasi muda, sukan dan pembangunan modal insan itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 apabila memperoleh 20,376 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan PAS dengan majoriti 12,072 undi.

Paya Jaras, salah satu DUN di bawah Parlimen Sungai Buloh, menjadi “meriah” seketika apabila dikunjungi oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika penamaan calon baru-baru ini.

Pada PRU15 lalu, ia turut dimeriahkan dengan kehadiran Khairy Jamaludin, bekas menteri kesihatan yang ketika itu bertanding di Parlimen Sungai Buloh sebagai calon BN.

Gelombang PN dan sentimen Umno

Dediy yang juga ahli Umno cawangan di Paya Jaras mengakui kebanyakan tempat di Paya Jaras sudah “tenggelam” dengan gelombang PN.

Namun katanya, situasi tidak boleh dijangka.

"Mungkin bunyi berdentum sahaja kuat tapi hujan tidak turun.

“Apa yang kita dengar barangkali daripada penyokong tegar, tetapi orang atas pagar kita tidak tahu akan beralih ke mana," katanya.

Akar umbi Umno pula kelihatan lesu dan tidak bersemangat untuk menyokong calon Pakatan Harapan (PH) itu. 

Dedahnya, ramai ahli Umno Paya Jaras berkempen dan membantu jentera mereka di Kuang yang mana calonnya daripada BN.

Malah semasa penamaan calon, difahamkan pemimpin-pemimpin utama Umno Paya Jaras tidak hadir menyokong calon PH.

Sementara itu, keupayaan Khairuddin untuk terus menjadi calon dipersoal.

Seorang penduduk di Bandar Baru Sungai Buloh, Shafiq Rusli menceritakan bagaimana Khairuddin tidak mempedulikan aduan yang dibuat.

Dia berdepan masalah apabila satu lot tanah dalam kawasan perumahan itu digunakan sebagai parkir haram untuk lori-lori industri sejak beberapa tahun lalu.

"Saya dan jiran juga datang ke pejabat Adun ketika pemilik parkir haram itu ada bersama. 

“Kami telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan masalah itu namun sampai sekarang, tiada berita (tentang penyelesaian)," katanya kepada MalaysiaNow.

Sehubungan itu, pada Mac 2023 dia menulis surat kepada Khairuddin untuk bertanyakan status penyelesaian tetapi tidak dilayan. 

Dia bertemu Khairuddin semasa rumah terbuka Hari Raya namun masih tiada jawapan.

Shafiq berkata, dia turut disekat daripada laman Facebook Pejabat Wakil Rakyat DUN Paya Jaras kerana mengutarakan semula isu itu ketika PRN semakin dekat.

MalaysiaNow sudah menghubungi Khairuddin untuk mendapatkan maklum balas.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.