- Iklan -
Berita

Keputusan letak presiden Gerakan di kerusi majoriti Melayu harus diterima semua, kata PAS

Parti Islam itu memohon maaf atas layanan terhadap Dominic Lau pada ceramah Perikatan Nasional baru-baru ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Gerakan Dominic Lau bercakap pada sidang media. Gambar: Bernama
Presiden Gerakan Dominic Lau bercakap pada sidang media. Gambar: Bernama

PAS hari ini memohon maaf atas insiden melibatkan Presiden Gerakan Dominic Lau yang diberi sambutan dingin pada majlis ceramah Perikatan Nasional (PN) di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, yang turut dihadiri ketuanya Abdul Hadi Awang. 

Walaupun Lau dilaporkan menafikan dakwaan beliau diminta keluar oleh seorang pemimpin PAS tempatan, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata beliau sepatutnya diterima dan dihargai sebagai tetamu, selaras dengan prinsip Islam. 

Mengakui sentimen dalam kalangan ahli dan penyokong PAS di peringkat tempatan mengenai pencalonan Lau di Bayan Lepas, kerusi majoriti Melayu, Takiyuddin bagaimanapun berkata keputusan meletakkan beliau perlu diterima semua.

“Saya menyeru ahli-ahli PAS berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan saja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PN, malah turut mencabar dan mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan presiden PAS sendiri,” katanya.

Parti komponen PN, Bersatu sebelum ini mengakui beberapa pertikaian berhubung keputusan mencalonkan Lau, timbalan pengerusi PN, sebagai calon gabungan itu untuk Bayan Lepas.

“Ramai yang merasakan bahawa kerusi itu lebih sesuai diwakili oleh calon di kalangan orang Melayu, tetapi itulah keindahan yang ada pada PN di mana kita meletakkan calon bukan Melayu di kawasan Melayu, kata Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu

“Jadi jangan bimbang, walaupun memang ada pertikaian pada mulanya namun selepas penamaan calon keadaan telah semakin reda dan kita yakin sokongan orang Melayu kepada parti.”

Dalam kenyataannya hari ini, Takiyuddin berkata Gerakan adalah komponen PN dan Lau, sebagai calon pilihan raya, harus diberi penghormatan yang sewajarnya.

“Dalam suasana politik semasa yang dicemari naratif cauvinis dan melampau, maka sebagai sebuah parti Islam tertua dan besar, PAS percaya kita bertanggungjawab bukan saja untuk menunjuk arah kepada politik matang dan sederhana, malah turut bertanggungjawab untuk memberi pertolongan dan perlindungan kepada pihak yang memerlukannya.

“Berdasarkan latar belakang itu, PAS melihat Lau dan parti pimpinannya tergolong dalam kelompok yang memerlukan pertolongan, justeru sekali lagi saya menyeru ahli PAS supaya berlapang dada sewajarnya menjadi pihak yang menghulur segala bantuan yang sehabis mampu atas semangat setiakawan dan persaudaraan yang tulus.”