- Iklan -
Berita

Proses ambil alih tanah timbul kekeliruan, penduduk jawab MRL

Kira-kira 89 buah rumah berisiko dirobohkan apabila jajaran ERL dialihkan ke taman perumahan itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penduduk, Rogayah Mat Jin mendengar penerangan dari Pengerusi dan ahli Jawatankuasa Bertindak tentang perkembangan terkini berkaitan isu Jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Taman Sungai Sireh, 25 Julai.
Seorang penduduk, Rogayah Mat Jin mendengar penerangan dari Pengerusi dan ahli Jawatankuasa Bertindak tentang perkembangan terkini berkaitan isu Jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Taman Sungai Sireh, 25 Julai.

Penduduk Taman Sungai Sireh, Klang mendakwa proses pengambilan tanah yang sedang berjalan di kawasan terbabit projek pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak mengikut tata kelola, dan tidak sistematik selain menimbulkan kekeliruan.

Dalam satu kenyataan Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh berkata, dakwaan syarikat Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang mengendalikan ECRL bahawa proses pengambilan tanah mengikut prosedur undang-undang.

"Penduduk tidak pernah dimaklumkan mengenai pembinaan jajaran ECRL yang merentas Taman Sungai Sireh ini oleh mana-mana pihak berkepentingan. 

“Sehinggalah penduduk mendapat tahu mengenai perkara ini sekitar bulan julai 2022 melalui portal di media sosial dan kerja-kerja penandaan yang dibuat oleh kontraktor MRL.

"Sedangkan projek ini bermula daripada tahun 2017 lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Taman Sungai Sireh penerima perhatian negara kerana kontroversi tanah itu yang dilaporkan MalaysiaNow baru-baru ini. 

Kira-kira 89 buah rumah berisiko dirobohkan apabila jajaran ERL dialihkan ke taman perumahan itu. 

Ia termasuk sebidang tanah kubur yang menempatkan puluhan jenazah penduduk berdekatan.

Susulan laporan MalaysiaNow, MRL mengeluarkan kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil kira pelbagai aspek dan prosedur adil kepada semua pihak terlibat. 

Menurut jawatankuasa itu, penduduk tidak diberikan notis kerja penilaian tapak ketika Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) hadir melakukan penilaian pada 27 Mac lepas. 

"Penduduk dimaklumkan bahawa setelah proses penilaian tapak, perbicaraan pentadbir tanah-penduduk, award bertulis dan proses seterusnya sehingga notis pengosongan rumah boleh berlaku sekitar tiga ke lima bulan," katanya.

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah sebelum ini memaklumkan, keseluruhan proses pengambilan tanah sehingga pembayaran kos pampasan akan mengambil masa enam ke tujuh bulan. 

Penduduk pula mendakwa harga sebuah rumah di sekitar kawasan perumahan tersebut sudah mencecah RM500,000 hingga RM700,000. 

"Sebahagian besar penduduk terkesan terdiri daripada golongan B40, pesara dan orang tua di mana mereka tiada kemampuan membeli rumah baharu, membuat pinjaman, masih terikat dengan pinjaman bank dan sebagainya.

"Situasi ini telah menambah keresahan penduduk dan menimbulkan tekanan tentang apakah nasib mereka di masa hadapan."

ECRL merupakan projek mega yang dimulakan di bawah Barisan Nasional (BN) ketika pentadbiran bekas perdana menteri, Najib Razak, dengan kerjasama syarikat dari China. 

Projek sepanjang 600 kilometer itu menghubungkan Pelabuhan Klang dengan negeri-negeri di Pantai Timur. 

MRL mendakwa bertemu penduduk berhubung isu itu namun menurut penduduk, mereka yang mengusahakan sendiri perjumpaan dengan syarikat berkenaan.

"Sepanjang pertemuan yang diadakan, pihak MRL telah memaklumkan bahawa jajaran adalah muktamad dan sukar untuk dialihkan. 

“Pihak MRL juga tiada mempunyai autoriti untuk membatalkan jajaran atau menentukan bentuk dan nilai pampasan kepada penduduk terkesan," katanya.