- Iklan -
Berita

Pemberian tunai Anwar tak langgar garis panduan pilihan raya, kata Bersih

Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata ia tidak melanggar syarat yang dicadangkan oleh gabungan itu untuk memastikan parti tidak menyalahgunakan sumber kerajaan untuk mendapat kelebihan dalam PRN bulan depan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Petugas Pakatan Harapan melakukan kerja-kerja memacak bendera parti bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan berlangsung pada 19 November 2022 di Taman Keramat Permai.
Petugas Pakatan Harapan melakukan kerja-kerja memacak bendera parti bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan berlangsung pada 19 November 2022 di Taman Keramat Permai.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menegaskan pemberian bantuan wang tunai seperti yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjumlah RM1 bilion kepada rakyat semalam tidak melanggar apa-apa garis panduan yang dicadangkan pihaknya menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal bermula esok.

Kenyataan itu berbeza dengan pendirian Muda yang mengingatkan ahli politik yang memerintah tentang kritikan masa lalu mereka terhadap amalan sedemikian.

Bersih, yang sebelum ini mengkritik pemberian kerajaan yang sama yang diberikan semasa musim pilihan raya, berkata pengagihan RM100 kepada kira-kira 10 juta rakyat Malaysia dewasa seperti yang diumumkan oleh Anwar semalam tidak melanggar garis panduan yang dikeluarkannya baru-baru ini.

“Jika mengikut garis panduan yang Bersih keluarkan minggu lalu, kita berpandangan tiada pelanggaran syarat-syarat yang kita kemukakan,” kata Pengerusi Bersih Thomas Fann kepada MalaysiaNow.

Tahun lepas, Bersih mengecam perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob kerana mengumumkan pemberian Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa ke-4 yang terlalu hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-15. 

Ismail ketika itu berkata pemberian wang tunai di bawah BKM – kini dijenamakan semula sebagai Sumbangan Tunai Rahmah oleh kerajaan sekarang – dibawa ke hadapan untuk membantu rakyat Malaysia daripada kumpulan B40 sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh dan banjir. 

Namun, Bersih berkata keputusan sedemikian perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan parti politik lain.

Fann merujuk kepada satu garis panduan yang dicadangkan oleh gabungan itu dalam aspek penggunaan sumber kerajaan menjelang PRN di enam negeri, 12 Ogos ini.

Antara lain, Fann berkata ianya bertujuan mencegah sumber kerajaan disalah guna sekali gus memberi kelebihan kepada pihak kerajaan berbanding pembangkang.

Garis panduan yang dikeluarkan pada 20 Julai itu menyebut sebarang pengumuman termasuk peruntukan atau pengumuman yang dibuat kepada para pengundi tidak boleh bersyarat seperti hanya jika calon atau parti itu menang dalam pilihan raya.

“Sebarang komitmen kerajaan Persekutuan perlu dipenuhi tanpa mengira keputusan pilihan raya.”

Memberikan penjelasan lanjut, Fann berkata garis panduan itu dikemukakan kerana jelas kerajaan negeri adalah “kerajaan sementara” dan tidak boleh menggunakan sumber kerajaan untuk berkempen atau membuat apa-apa pengumuman berkaitan peruntukan. 

"Namun perlakuan kerajaan persekutuan yang bukan dalam mode kerajaan sementara adalah tidak jelas,” katanya.

Kedua, kata Fann, tidak wajar menjalankan kempen ketika majlis kerajaan dengan nama parti atau calon disebut dengan logo parti atau bendera dipasang dalam majlis.

“Tiada peruntukan boleh dibuat secara khusus di kawasan tersebut untuk membantu parti tertentu memenangi atau mempertahankan kawasan tersebut.”

Manakala yang terakhir, Bersih 2.0 mencadangkan calon juga tidak boleh hadir dalam majlis kerajaan di mana pengumuman atau peruntukan dibuat melainkan mereka juga adalah anggota menteri di peringkat persekutuan.

Terdahulu, dua hari sebelum penamaan calon PRN enam negeri, Anwar mengumumkan pemberian wang berjumlah RM100 kepada lebih 10 juta rakyat yang akan dikreditkan dalam e-dompet mereka.

Anwar yang juga menteri kewangan memberitahu mereka yang layak menerima insentif itu terdiri daripada individu berpendapatan tahunan RM100,000 dan ke bawah.

Beliau turut mengumumkan bantuan khas sebanyak RM300 kepada penjawat awam dan penghargaan khas kepada pesara kerajaan sebanyak RM200.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari blok kerajaan dalam satu kenyataan tidak lama selepas pengumuman tersebut mengkritik Anwar dengan menyamakan “berita baik” itu tidak ubah seperti amalan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu yang gemar umum bantuan wang tunai menjelang musim pilihan raya.

Presiden Muda itu berkata, lazimnya pengumuman seperti yang dibuat Anwar semalam diberikan apabila menteri membentangkan belanjawan tahunan di Parlimen ataupun ketika musim-musim perayaan.

Bagaimanapun, perkembangan terbaru ini katanya amat berbeza kerana ianya diumumkan secara tiba-tiba iaitu beberapa hari sebelum kempen PRN di enam negeri.

“Dulu bila pihak lawan buat perkara yang sama, (mereka sebut) 'Cash is king', kerajaan BN tabur gula-gula.

“Sekarang? Buat benda sama?

“Jangan kita ulang budaya ‘election goodies’ kerajaan terdahulu.

“Jadilah lebih baik,” kata Syed Saddiq.