- Iklan -
Berita

Hakim dedah pernah bekerja dengan bekas peguam 1MDB Jasmie Loo

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah berkata beliau pernah menjadi rakan kongsi dengan bekas Penasihat Undang-undang 1MDB itu yang kini ditahan di sebuah firma guaman kira-kira 10 hingga 15 tahun lalu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Hakim perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1DMB) Collin Lawrence Sequerah hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau pernah bekerja dengan bekas Penasihat Undang-undang 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, yang kini dalam tahanan polis.

Hakim itu berkata demikian apabila Muhammad Shafee yang mengetuai barisan peguam bela Najib Razak bertanya sama ada pihak pendakwaan mahu memanggil Loo sebagai saksi pendakwaan atau menawarkan beliau sebagai saksi pembelaan.

Pada ketika itu, Sequerah mencelah dan berkata “memandangkan isu ini telah dibangkitkan, saya mahu memberitahu kepada pihak-pihak berkenaan bahawa individu yang sama (Loo) dan saya merupakan rakan kongsi, dalam sebuah firma guaman, mungkin dalam 10 ke 15 tahun dahulu.  Saya fikir saya dedahkan perkara itu kerana namanya telah timbul dalam perbicaraan,” katanya.  

Terdahulu, Shafee bertanya kepada Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib sama ada beliau akan memanggil Loo untuk memberi keterangan kerana wanita itu akan menjadi saksi penting, selain ahli perniagaan dalam buruan  Low Taek Jho atau Jho Low.

Ahmad Akram menjawab pada masa ini pihak pendakwaan tidak mengetahui sama ada Loo menyerahkan dirinya atau ditahan polis tetapi beliau boleh mengesahkan pihak berkuasa sudah  mengambil keterangan wanita itu.  

“Jabatan Peguam Negara tidak menerima sebarang keputusan siasatan  dan saya tidak boleh membuat keputusan sekarang sama ada beliau akan dipanggil (sebagai saksi pendakwaan) atau tidak.

Ini pendirian kami buat masa ini. Sebaik sahaja kami menerima keputusan siasatan, saya akan mendapat arahan daripada ketua saya sama ada untuk memanggil beliau atau tidak,” kata Ahmad Akram.

Pada 12 Julai, Menteri Dalam Negeri  Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Loo ditahan polis pada 7 Julai bagi membantu siasatan dalam siasatan mengenai penyelewengan dana 1MDB. 

Beliau berkata Loo menerusi peguamnya menyatakan kesediaan untuk bekerjasama membantu siasatan polis dalam kes berkaitan 1MDB, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz tiba di mahkamah pada pukul 1.54 tengah hari kerana beliau dijadualkan untuk memberi keterangan selaku saksi ke-46 pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung.