- Iklan -
Berita

DAP Pulau Pinang gugurkan 5 exco kerajaan negeri

Setiausaha Agong DAP Anthony Loke berkata keputusan diambil atas pertimbangan bahawa penglibatan muka baharu akan membawa nafas baharu kepada parti itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agong DAP Anthony Loke. Gambar: Bernama
Setiausaha Agong DAP Anthony Loke. Gambar: Bernama

DAP menggugurkan lima Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) daripada menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan datang dalam usahanya untuk meremajakan parti itu agar kekal relevan.

Setiausaha Agong DAP Anthony Loke berkata keputusan diambil atas pertimbangan bahawa penglibatan muka baharu akan membawa nafas baharu kepada parti itu yang sudah memerintah tiga penggal di Pulau Pinang.

"Antara tokoh yang sudah lama berkhidmat termasuk P. Ramasamy yang sudah menjadi timbalan ketua menteri II Pulau Pinang selama tiga penggal manakala Chong Eng sudah menjadi ahli majlis mesyuarat negeri selama dua penggal dan sebelum itu banyak penggal sebagai ahli Parlimen.

Jadi ada keperluan untuk kita beri peluang kepada muka baharu. Ini adalah proses yang perlu dilakukan untuk parti kekal relevan," katanya kepada wartawan selepas mengumumkan senarai calon DAP Pulau Pinang pada PRN akan datang di Georgetown semalam. 

Loke berkata, proses pembaharuan dalam sesuatu parti politik itu akan berlaku setiap pilihan raya dan ia merupakan proses biasa, selari dengan prinsip DAP bahawa tiada satu pemimpin pun yang tidak boleh digantikan termasuk dirinya sendiri. 

Loke berkata Yeoh Soon Hin pula digugurkan daripada bertanding pada PRN kali ini kerana pihak parti mempunyai perancangan lain bagi hala tuju karier politik bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri berkenaan.

"Saya akan mencadangkan beliau sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang kerana pengalaman beliau sebagai Exco Pelancongan dapat membantu dalam membangunkan Pelabuhan Pulau Pinang dan menguruskan perkhidmatan feri dengan baik.

Selain itu, pihak parti juga bersetuju supaya Yeoh tidak bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini kerana kita akan mencalonkan beliau sebagai ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang," katanya.

Sementara itu, Loke berkata beliau yakin ahli-ahli DAP yang tidak dicalonkan pada PRN kali tidak akan bertanding sebagai calon Bebas dan menegaskan mana-mana ahli parti yang bertanding sebagai calon Bebas akan terlucut keahlian mereka secara automatik.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) secara keseluruhannya DAP bertanding 19 kerusi DUN dan menang kesemua kerusi di Pulau Pinang.