- Iklan -
Berita

SKMM beri lesen 10 tahun kepada Starlink walaupun 100% pemilikan asing, kata laporan

Kehadiran penyedia perkhidmatan internet satelit AS di Malaysia juga dikecualikan daripada beberapa syarat pemilikan ekuiti.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kit peranti internet satelit, Starlink kini boleh didapati di Malaysia selepas syarikat itu memperoleh kelulusan lesen pembekal perkhidmatan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Kit peranti internet satelit, Starlink kini boleh didapati di Malaysia selepas syarikat itu memperoleh kelulusan lesen pembekal perkhidmatan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Kerajaan memberikan lesen 10 tahun kepada penyedia internet dari Amerika Syarikat (AS), Starlink untuk beroperasi di negara ini, walaupun syarikat itu tidak memenuhi syarat had pemilikan 49% bagi ekuiti asing yang dikenakan terhadap mana-mana syarikat yang memohon untuk menjadi Penyedia Kemudahan Rangkaian (NFP) dan Penyedia Perkhidmatan Rangkaian (NSP), lapor laman sesawang, Soya Cincau. 

Ia memetik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), yang mengeluarkan lesen kepada pemain rangkaian digital di negara ini, sebagai berkata syarat biasa yang dikenakan kepada pemohon boleh dikecualikan oleh menteri berkaitan.

Dalam kes ini ia tertakluk di bawah bidang kuasa Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. 

"Kedudukan semasa dalam menilai permintaan sedemikian adalah untuk melihat terlebih dahulu susunan organisasi pemohon, penampilan di peringkat global dan struktur membuat keputusan.

“Pertimbangan dasar termasuk semakan status 'Malaysia Digital' pemohon, komitmen negara dalam mana-mana perjanjian perdagangan bebas dengan negara asal pemohon, dan faedah langsung dan tidak langsung yang boleh dibawa oleh pemohon ke Malaysia," kata SKMM.

Mengikut garis panduan pelesenan SKMM, pemegang lesen individu untuk NFP dan NSP dibenarkan untuk menyediakan kabel tetap, hab satelit dan stesen kawalan, pusat pendaratan kabel dasar laut, menara dan tiang. 

Mereka juga dibenarkan untuk mengendalikan perkhidmatan jalur lebar, perkhidmatan pengedaran penyiaran dan perkhidmatan mudah alih selular. 

Buku panduan SKMM yang dikemas kini pada April tahun ini juga menyatakan bahawa pemohon mesti mempunyai modal berbayar minimum RM2 juta dan 30% kepentingan Bumiputera. 

Bagaimanapun, pengawal selia internet itu memberitahu Soya Cincau meskipun status pemilikan semasanya tidak memenuhi syarat, permohonan Starlink diluluskan kerana ia melepasi penilaian "nilai dan faedahnya".

Semakan ke atas Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lauren Ashley Dreyer dan Ngoh Choo Ann disenaraikan sebagai dua pengarah Starlink Malaysia, dengan pemilikan 100% saham oleh Starlink Holdings Netherlands.  

Syarikat tersebut turut menyenaraikan Chia Poh Tin dan Lim Hui Ming, anak perempuan kepada veteran DAP Lim Kit Siang sebagai setiausaha syarikat.

Penyertaan Starlink ke Malaysia diselubungi kontroversi selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pembelian 40 unit kit peranti satelit syarikat itu untuk menyediakan perkhidmatan internet di pelbagai lokasi. 

Anwar membuat keputusan itu ketika sidang video selama 25 minit dengan Elon Musk, mencetuskan perdebatan di media sosial mengenai keupayaan untuk beralih kepada penyedia perkhidmatan internet asing.

Inti pati perdebatan itu ialah sama ada keputusan tersebut adalah satu bentuk "pembelian impuls" oleh Anwar yang memintas prosedur perolehan, serta sama ada liputan yang ditawarkan oleh Starlink berbaloi dengan harga yang tinggi berbanding jalur lebar gentian optik dan rangkaian internet mudah alih di seluruh negara. 

Satu ulasan video oleh penganalisis Amerika Shahid Bolsen berkata ia “terkenal kurang dipercayai" jika dibandingkan dengan beberapa ISP sedia ada Malaysia. 

"Anda membayar lebih untuk internet yang lebih perlahan dan kurang dipercayai daripada syarikat asing untuk menggantikan internet yang lebih pantas dan lebih dipercayai daripada pembekal domestik? Mengapa? Kerana Elon Musk adalah nama yang berprestij?

"Apabila Starlink datang ke Nigeria, orang ramai teruja sama seperti Anwar teruja. Tetapi kos sebulan ternyata terlalu tinggi untuk orang yang tinggal di kampung dan kawasan luar. Mengapa anda tidak mengutamakan syarikat anda sendiri?" kata Bolson berkata dalam video yang tular di media sosial Malaysia.