- Iklan -
Berita

PH beri laluan BN bertanding di DUN Tanjung Dawai

Ketua Umno Bahagian Merbok, Shaiful Hazizy Zainol Abidin akan bertanding di DUN berkenaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional berkibar di pembahagi jalan di Taman Muda, Ampang, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022.
Bendera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional berkibar di pembahagi jalan di Taman Muda, Ampang, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022.

Barisan Nasional (BN) diberikan laluan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk meletakkan calon bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan berikutan itu pucuk pimpinan parti memilih Ketua Umno Bahagian Merbok, Shaiful Hazizy Zainol Abidin sebagai calon untuk bertanding di DUN berkenaan.

“Dengan mandat yang diamanahkan oleh Pengerusi BN (Ahmad Zahid Hamidi), maka Shaiful Hazizy Zainol Abidin diumumkan sebagai calon bagi kerusi DUN N26, Tanjung Dawai Kedah, (mewakili) BN.

“Saya mewakili BN merakamkan penghargaan kepada PH atas semangat perpaduan dengan memberi laluan kepada BN untuk bertanding di kerusi DUN Tanjung Dawai,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada majlis mengumumkan senarai penuh calon BN pada Jumaat lepas, Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, memaklumkan BN akan bertanding di 108 kerusi DUN di enam negeri yang terlibat dengan PRN termasuk 15 kerusi DUN di Kedah.

Bagaimanapun, nama calon bagi DUN Tanjung Dawai tidak diumumkan pada malam berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari mengundi bagi PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Selain itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu turut diadakan serentak pada hari berkenaan.

Hari penamaan calon adalah  pada 29 Julai dan hari mengundi awal pada 8 Ogos ini.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.