- Iklan -
Berita

Hamzah yakin PN boleh rampas Selangor

Ia selepas beliau melihat sendiri sokongan dan sambutan yang meriah pengundi di negeri itu terhadap gabungan tersebut.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Penyokong berkumpul ketika acara Perikatan Nasional di Shah Alam, menjelang PRN di Selangor.
Penyokong berkumpul ketika acara Perikatan Nasional di Shah Alam, menjelang PRN di Selangor.

Perikatan Nasional (PN) yakin Selangor akan dirampas gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini selepas melihat "gelombang" luar biasa dalam kalangan pengundi.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata beliau melihat sendiri sokongan dan sambutan yang meriah ketika hadir majlis pelancaran jentera PRN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang dan Sungai Burong di bawah Parlimen Tanjung Karang, semalam.

Tambahnya, para hadirin yang datang bukan sahaja terdiri daripada orang Melayu bahkan juga masyarakat India dan Cina yang disifatkannya kini sudah ramai bersama dengan PN.

"Sesiapa sahaja dapat saksikan gelombang ini di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Kini gelombang sama diperlihatkan di Selangor dan sedang marak di Negeri Sembilan serta Pulau Pinang.

“Insya-Allah, Selangor Utara akan menjadi kubu Perikatan Nasional dan merupakan pemangkin yang akan memastikan Selangor ditawan dalam PRN pada 12 Ogos ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada Rabu, kepimpinan utama PN dijadualkan mengumumkan calon-calon PRN bagi DUN Selangor di Taman Medan Baru, Petaling Jaya.

Sebelum ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan bekas ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jamil Salleh sebagai calon bagi kerusi DUN Dengkil.

Turut diumumkan Muhyiddin, calon bagi DUN Sungai Pelek, Suhaimi Mohd Ghazali yang juga ketua Bersatu Bahagian Sepang.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

TagPRN
Kongsi