- Iklan -
Berita

Negara 'hampir-hampir' ke arah rusuhan ala 13 Mei, kata Kit Siang

Sambil berkata hubungan kaum semakin merosot tahun ini, pemimpin DAP itu berkata Perlembagaan tidak menghalang bukan Melayu dilantik sebagai perdana menteri walaupun ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Veteran DAP Lim Kit Siang. Gambar: Bernama
Veteran DAP Lim Kit Siang. Gambar: Bernama

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini memberi amaran negara sedang menuju ke arah rusuhan kaum seperti mana yang berlaku lebih lima dekad lalu, sambil mengingatkan Perlembagaan Persekutuan menjamin kesaksamaan semua kaum termasuk tidak menghalang bukan Melayu memengang jawatan tertinggi negara.

"Selepas 54 tahun, Malaysia semakin hampir-hampir ke arah tepian sebuah lagi rusuhan 13 Mei 1969," kata Lim dalam kenyataannya menyelar Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin yang mengutuk penangkapan dan pendakwaan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor semalam.

"Bolehkah semua parti politik dan calon dalam pilihan raya enam negeri pada 12 Ogos membuat pengisytiharan bahawa mereka tidak mahu rusuhan 13 Mei 1969 berulang di Malaysia dan menegaskan relevannya prinsip membina negara yang terkandung dalam Rukun Negara demi sebuah Malaysia yang majmuk?" soal Lim.

Semalam, Hamzah menyifatkan tuduhan hasutan yang dikenakan terhadap Sanusi sebagai pendakwaan terpilih, mencerminkan pendirian pemimpin pembangkang lain.

Ahli politik Kedah yang lantang bersuara itu ditangkap pada awal pagi semalam oleh kira-kira 20 anggota polis, sebelum didakwa beberapa jam kemudian berkait ucapannya yang mempersoalkan prestasi menteri besar Selangor dan pelantikannya, di samping mempersoalkan kredibiliti Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Lim dalam kenyataannya hari ini turut mengingatkan, Perlembagaan tidak melarang bukan Melayu menjadi perdana menteri, dan menambah pemimpin pengasas terdahulu tidak mempunyai masalah dengan senario sedemikian.

Bagaimanapun, Lim berkata soal sama ada bukan Melayu akan memegang jawatan tertinggi di Malaysia seperti mana Barack Obama menjadi presiden kulit hitam pertama di Amerika Syarikat pada 2008, merupakan isu berasingan.

"Saya tidak fikir akan melihat seorang bukan Melayu menjadi perdana menteri dalam hidup saya mahupun hidup anak-anak saya," kata Lim.

“Dengan kejayaan bersejarah Obama, ramai rakyat Malaysia bertanyakan sama ada Cina, India, Kadazan atau Dayak boleh menjadi perdana menteri Malaysia walaupun Perlembagaan amat jelas bahawa mana-mana warganegara Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, boleh menjadi perdana menteri,” tambahnya.

Menurut Lim, hubungan kaum Malaysia "semakin merosot" tahun ini, dan berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti akan menunjukkan sama ada Malaysia boleh kembali kepada "prinsip asal bina negara untuk sebuah Malaysia majmuk".

Rusuhan kaum 1969 merujuk kepada keganasan antara etnik Melayu dan Cina selepas pilihan raya umum tahun itu yang menyaksikan penambahan sokongan untuk parti berasaskan bukan Melayu dan pengurangan kerusi gabungan pemerintah yang dipimpin Umno.

Episod itu dianggap sebagai peristiwa hitam dalam sejarah Malaysia selepas kemerdekaan, dengan pihak berkuasa kerap memberi amaran kepada orang ramai tidak menganjurkan sebarang perbincangan terbuka mengenai topik itu.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi