- Iklan -
Berita

Sanusi mohon dibicara atas tuduhan menghasut dalam ceramah politik

Menteri besar Kedah itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor melambai di Mahkamah Sesyen Selayang di mana dia didakwa menghasut, 18 Julai.
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor melambai di Mahkamah Sesyen Selayang di mana dia didakwa menghasut, 18 Julai.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas satu pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah politik, minggu lepas.

Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Beliau didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak pada 11 malam, 11 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala Muhammad Sanusi diwakili peguam Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud.

Sanusi turut didakwa atas satu lagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lepas.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Sanusi dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai lepas.

Sementara itu, tertuduh juga dilarang membuat apa-apa komen sehingga kes selesai.

Kedua-dua mahkamah menetapkan masing-masing jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Sanusi.

Mahkamah juga menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sanusi, beliau ditahan polis kira-kira 3 pagi tadi di sebuah hotel di sini dan dibawa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Media baru-baru ini melaporkan ucapan Sanusi pada satu ceramah politik di Selangor dikatakan menghina institusi diraja Selangor.

Sanusi dalam video ucapannya yang tular dikatakan menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai menteri besar Kedah dan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor. 

Susulan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Pada 13 Julai, Ketua Polis Negara Razarudin Husain pada sidang media khas berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional itu berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R dalam ceramah politiknya.