- Iklan -
Berita

Mesyuarat khas SPR hari ini tentukan tarikh penting PRK Kuala Terengganu

Ia selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim yang mewakili PAS di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15 lepas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail seorang lelaki menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 di SJKC Selayang Baru in Selayang, 19 November.
Gambar fail seorang lelaki menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 di SJKC Selayang Baru in Selayang, 19 November.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas pada 10 pagi ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Mesyuarat di Menara SPR Putrajaya itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh bagi membincangkan urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

SPR akan mengadakan sidang media sejurus selesai mesyuarat khas itu.

Khamis lepas, Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat khas itu diadakan selepas suruhanjaya menerima Laporan Hakim Pilihan Raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan keputusan mahkamah membatalkan pilihan raya bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu pada 19 November lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim yang mewakili PAS di Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas pempetisyen iaitu calon Barisan Nasional Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 8 Julai lepas, PAS memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kuala Terengganu yang membatalkan kemenangan parti itu.