- Iklan -
Berita

Kerajaan tiada kuasa sekat akaun pengguna TikTok, kata menteri

Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan mempunyai banyak perkara lain yang perlu dilakukan, berikutan tuntutan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar: Bernama

Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana akaun pengguna aplikasi media sosial TikTok, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Menempelak dakwaan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bahawa kerajaan menghalang akses atau memadam kandungan akaun TikToknya, Saifuddin Nasution berkata kerajaan mempunyai banyak kerja lain yang perlu dilakukan.

Beliau berkata aplikasi milik ByteDance Ltd iaitu firma teknologi dari China itu sama seperti aplikasi media sosial lain yang mempunyai ‘pantang larang’ yang perlu dipatuhi pengguna.

“Kerajaan Malaysia ada kuasa ban (sekat) akaun TikTok kita?… jawabnya tidak. Kalau TikTok terima banyak report (laporan) dan aduan pengguna lain, maka TikTok akan ban la akaun yang menjadi isu itu.

“Kiranya yang ban TikTok kita ialah orang awam bukannya kerajaan. Orang awam buat aduan dan TikTok ban. Hari ini MB Kedah kata content (kandungan) TikTok dia kena padam. Dia kata Malaysia dah jadi Korea Utara! 

“Saya tentunya tak setuju sebab memang bukan kerajaan yang buat, kita pun (kerajaan) banyak kerja lain,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi dalam satu ceramah di Baling, Kedah malam semalam mendakwa akaun TikToknya disekat dan menyifatkan ia sebagai usaha menghalang kemaraannya berkempen secara maya menjelang Pilihan Raya Negeri.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam kenyataan hari ini menegaskan tiada arahan diterima untuk menghalang akses atau memadam kandungan akaun TikTok Menteri Besar Kedah itu.

SKMM memaklumkan pihaknya telah meneliti kenyataan Muhammad Sanusi yang menuduh kerajaan menghalang akses atau memadam kandungan akaun TikTok beliau.

“SKMM mengesahkan, tiada sebarang arahan diterima berhubung isu ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut SKMM, platform-platform media sosial mempunyai garis panduan komuniti yang menentukan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pengguna secara automatik apabila terdapat pelanggaran terhadap panduan tersebut, mahupun berdasarkan aduan orang ramai.

"Garis panduan komuniti sedemikian menetapkan jangkaan, mempromosikan keterangkuman dan mengurangkan kandungan memudaratkan atau yang berbaur jelik yang boleh mengganggu keharmonian dalam komuniti," menurut SKMM.