- Iklan -
Berita

Baik dan buruk ahli politik turun padang

Rakyat Malaysia perlu mengubah mentaliti ahli politik perlu turun padang untuk menjadi wakil rakyat yang baik, kata bekas ahli Parlimen.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi

Istilah “turun padang” sering dikaitkan dengan ahli politik yang berada di pejabat awam, seperti ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), menteri besar dan ahli Parlimen.

Ia kini dianggap sebahagian daripada skop kerja mereka namun persoalan timbul mengenai had kuasa apabila ahli politik terpaksa menegur atau membabitkan diri dalam pengoperasian satu-satu jabatan awam.

Di media sosial, ahli-ahli politik yang menunjukkan mereka turun padang dan memantau sendiri permasalahan mendapat perhatian pengguna internet. 

Antaranya Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi yang kerap melakukan tinjauan mengejut ke CIQ Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, selain meminta lebih banyak kaunter di kompleks itu dibuka.

Selain itu, Adun Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang dikenali kerana pendirian anti pendatang asingnya, dilihat berdepan dengan sekumpulan pekerja asing, menuduh mereka membuang rumput yang dipotong ke dalam longkang.

Tidak kurang juga komen pengguna internet yang mengakui menyokong parti tertentu namun ingin melihat sosok daripada parti berlawanan terus berkhidmat.

Bercakap kepada MalaysiaNow, bekas ahli majlis Mak Khuin Weng berkata, selain keperluan mendapatkan undi dan berkhidmat Adun dan ahli Parlimen terpaksa turun padang kerana majlis perbandaran atau pihak berkuasa tempatan tidak boleh menyelesaikan banyak masalah sistematik yang terhasil daripada pembangunan melebihi had.

Ia mengakibatkan masalah pada infrastruktur seperti longkang dan jalan raya yang seterusnya memerlukan jutaan ringgit untuk dibaiki.

"Inilah idea asas mengapa ahli politik perlu masuk campur secara peribadi. Mereka boleh dapatkan bajet untuk projek-projek.

“Sistem perlu dipersalahkan, tetapi masalah kewangan untuk memperbaiki sistem, jadi kita tersangkut dalam kitaran yang tidak ada penghujungnya,” katanya yang pernah berkhidmat dengan Majlis Bandaran Petaling Jaya.

Sebelum ini, bekas ahli Parlimen Damansara, Tony Pua pernah menggelar Chew Mei Fun dari MCA sebagai “MP Longkang”, merujuk kepada tindakan bekas timbalan menteri itu yang melibatkan diri dengan hal-hal di bawah pihak berkuasa tempatan di Petaling Jaya.

Chew bagaimanapun tidak segan mengakui beliau menyelesaikan masalah seperti lampu trafik atau jalan raya, walaupun ia tidak termasuk dalam skop tugasan ahli Parlimen.

Menurut Mak, ahli politik seperti Chew boleh melobi kementerian-kementerian berkaitan untuk mendapatkan fasiliti kepada penduduk sekiranya aduan mereka tidak dipandang oleh pihak berkuasa.

Ini terbukti benar dalam kes Onn Hafiz yang berjaya mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk membaiki jalan di negerinya selepas lawatan turun padang bersama Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi baru-baru ini.

Bekas ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, rakyat Malaysia perlu mengubah mentaliti ahli politik perlu turun padang untuk menjadi wakil rakyat yang baik.

"Turun padang untuk menuding kepada longkang, sampah-sarap atau trafik untuk 'photoshoot' hanya buang masa dan menunjukkan kita masih berada di takuk lama.

"Kita mempunyai majlis perbandaran dan agensi persekutuan dengan ribuan pegawai serta pekerja untuk menyelesaikan masalah ini," katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, wakil rakyat perlu menyelidik dan membawa isu ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen untuk diselesaikan pihak berwajib.

Wee, yang berkhidmat dari 2008 hingga 2013 berkata, rakyat perlu menuntut perubahan polisi dan perkhidmatan sosial, selain akauntabiliti penjawat pejabat awam.

"Berlakon 'undercover' bermakna pegawai hanya berminat dengan aksi publisiti dan tidak membuat kerja dengan baik.

"Adun dan ahli Parlimen perlu sedar mereka bukan pekerja sosial dan mereka dibayar untuk menjadikan kerajaan lebih bertanggungjawab dan membuat perubahan polisi."