- Iklan -
Berita

Bersatu gesa Anwar fail saman fitnah, jangan guna polis berhubung banglo mewah

Bersatu berkata perdana menteri perlu membawa perkara ini ke mahkamah sivil jika beliau percaya reputasinya tercemar.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Ahmad Farhan Fauzi, memegang salinan laporan polisnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, 13 Julai. Gambar: Bernama
Setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Ahmad Farhan Fauzi, memegang salinan laporan polisnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, 13 Julai. Gambar: Bernama

Bersatu hari ini menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memfailkan saman sivil terhadap beberapa individu yang membuat laporan kepada agensi antirasuah negara berhubung kediamannya dan sebuah kereta mewah dan bukannya merujuk kepada polis sebagai tindak balas. 

Sasha Lyna Abdul Latif dari Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu berkata adalah hak Anwar untuk memfailkan saman fitnah jika beliau terkesan dengan dakwaan yang dibuat.

“Semasa beliau pembangkang, pelbagai saman fitnah telah difailkankannya terhadap pengkritik,” katanya. 

“Sekarang ini setelah berkuasa, adakah Anwar mengharapkan layanan istimewa diberikan kepadanya dengan menggunakan kuasa polis untuk melindungi reputasinya?”

Memetik Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kesamarataan dalam kalangan semua rakyat, beliau berkata Anwar harus membawa perkara ini mahkamah jika beliau percaya reputasinya telah tercemar. 

Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin bersama Ahli Majlis Tertinggi Wan Saiful Wan Jan dan penulis blog Raggie Jessy Rithaudeen membuat laporan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 Julai.

Ketiga-tiga mereka mendakwa rumah yang didiami Anwar di Sungai Long, Kajang, sebenarnya dimiliki oleh seorang "Taukay Cina". 

Badrul turut memperkatakan tentang kereta mewah yang menurutnya bukan milik Anwar. 

Setiausaha politik Anwar, Ahmad Farhan Fauzi kemudiannya membuat laporan polis terhadap ketiga-tiga mereka, kerana didakwa melakukan fitnah terhadap perdana menteri dan memetik catatan media sosial serta kenyataan pada ceramah baru-baru ini.

Beliau berkata satu laporan juga dibuat terhadap Badrul kerana melanggar akta SPRM dengan mendedahkan kandungan laporannya kepada agensi itu. 

Menurut Sasha peguam Anwar, Sankara Nair berkata beliau mempunyai bukti bahawa dakwaan Badrul adalah tidak benar.

“Sekiranya itu benar, mengapakah bukti-bukti tersebut tidak diserahkan kepada pihak SPRM supaya SPRM dapat menjalankan satu siasatan yang lengkap terhadap laporan yang dibuat oleh Badrul.

“Sebaliknya, mengapakah perdana menteri membuat laporan polis terhadap rakyat yang mempersoalkan sumber kekayaan beliau dan mengugut dengan tindakan undang-undang jenayah?”

Sasha turut menyifatkan Anwar sebagai seorang hipokrit kerana mengguna pakai Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia ketika ini.

Ini kerana katanya, pada tahun 2021, Anwar sendiri menyatakan yang ianya “draconian law used to clamp down free speech” (undang-undang drakonian digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara).

“Pakatan Harapan semasa menjadi pembangkang juga selalu mengutuk penggunaan Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mengingatkan Anwar tentang janjinya untuk menentang undang-undang sebegitu semasa pemerintahan Barisan Nasional, beliau merujuk kepada catatan di Twitter yang dibuatnya pada 2021 yang memetik ahli falsafah Voltaire: “I may disagree with what you say, but I will defend to the end your right to say it”.

“Adakah Anwar sudah lupa kata-kata Voltaire ini?” tambahnya.