- Iklan -
Berita

Zahid yakin MCA, MIC kekal bersama BN biarpun ‘dilamar’ parti lain

Presiden Umno itu berkata kedua-dua parti masih menjadi sebahagian daripada gabungan itu, meskipun mendapat pelawaan daripada Perikatan Nasional.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Deretan bendera Barisan Nasional berkibar ditiup angin. Gambar: Reuters
Deretan bendera Barisan Nasional berkibar ditiup angin. Gambar: Reuters

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi yakin MCA dan MIC akan terus kekal bersama BN biarpun mendapat ‘lamaran’ untuk bersama parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Zahid yang juga presiden Umno berkata parti yang membuat ‘lamaran’ berkenaan, memang sering mengambil kesempatan setiap kali tiba pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU).

“Apabila ada PRK dan PRN lebih-lebih lagi PRU, terus-terusan tawaran-tawaran ini akan dilakukan mereka, tetapi saya yakin, MCA dan MIC akan tetap bersama dengan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Minggu Usahawan Negara dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Peringkat Kebangsaan 2023 di Dataran Merdeka semalam.

Zahid berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Muhammad Sanusi Md Nor yang mempelawa MCA serta MIC bekerjasama pada PRN nanti dan meninggalkan BN. 

Ditanya mengenai keputusan bekas Timbalan Ketua Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz menjadi ahli Bersatu semalam, Zahid mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan menegaskan Umno dan BN hanya memerlukan pemimpin yang setia.