- Iklan -
Berita

Kami akan buktikan anda salah, PN beritahu Guan Eng berhubung kenyataan 'gelombang hijau'

Parti komponen PN, Bersatu berkata kenyataan itu adalah 'langkah terdesak' menjelang PRN.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas pilihan raya memasang bendera Perikatan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022.
Petugas pilihan raya memasang bendera Perikatan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022.

Perikatan Nasional (PN) hari ini mencabar kenyataan Pengerusi DAP Lim Guan Eng baru-baru ini yang memberi amaran tentang sekatan terhadap hak asasi jika gabungan itu mengambil alih Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan, menyifatkannya sebagai langkah terdesak dan cubaan mengganggu keharmonian kaum dan agama dalam negara.

“Insya-Allah PN akan buktikan apa yang dinyatakan oleh Lim adalah bersifat perkauman dan anti Islam jika PN diberi peluang untuk mentadbir enam negeri yang terlibat dengan PRN nanti," tambah parti komponen gabungan itu, Bersatu. 

Lim pada mulanya dipetik sebagai berkata dalam laporan China Press bahawa kuil akan dimusnahkan dan hak asasi dieksploitasi jika "gelombang hijau", istilah yang digunakan untuk menggambarkan pencapaian mengejut PN pada pilihan raya umum lalu, mengambil alih pentadbiran Pulau Pinang. 

Laporan itu kemudiannya dipinda dengan menggantikan perkataan “tokong" kepada "kuil India” dan mengeluarkan perkataan “Buddha”, walaupun sebahagian besar serangannya yang lain dikekalkan. 

Ketua Penerangan Bersatu Pulau Pinang, Rasman Farish Shamsuddin berkata “tuduhan sesat lagi menyesatkan” terhadap PAS sebagai parti rasis dan Pulau Pinang akan lenyap jika PN berkuasa “cukup membuktikan betapa dangkal” DAP yang disifatkannya sebagai cauvinis.

“Sekarang sudah terbukti bahawa kenyataan terbarunya yang menyentuh agama Islam adalah berkait-rapat dengan 3R yang dilarang oleh kerajaan sekarang,” katanya merujuk kepada isu melibatkan kaum, agama dan raja. 

“Islam tidak pernah mengajar penganutnya menindas agama lain.”

Sambil menyeru tindakan diambil terhadap pemimpin DAP itu, Rasman berkata kerajaan negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang berada di bawah pemerintahan PAS atau PN telah dapat memastikan keharmonian semua kaum dan agama tanpa sebarang diskriminasi.

“Sebagai rujukan di Kelantan masih tersergam patung Buddha yang terbesar sampai sekarang dan tidak dirobohkan pun,” katanya.

“Kenyataan Lim ini merupakan satu tindakan yang amat terdesak di kala PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi. 

“Kini semua rakyat Malaysia khususnya rakyat Pulau Pinang dapat menilai dan bangkit untuk membuat pemilihan yang sewajarnya pada PRN yang akan berlaku tidak lama lagi.”

Semalam, polis berkata mereka membuka siasatan terhadap kenyataan Lim ketika menghadiri sebuah acara keagamaan sempena Jelajah Raja Naga Putih Tian Fu Gong di Jelutong baru-baru ini.